PUTRAJAYA: Dr Farah Nini Dusuki dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 8 Mac lepas, umum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Farah Nini adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya sejak Disember 2007 dan mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang berhubung kanak-kanak.

Menerusi kenyataan hari ini, Azalina berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan Farah Nini mengikut subseksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].

"Kerajaan berharap dengan lantikan Farah Nini sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak, pelbagai isu kanak-kanak yang berlaku di Malaysia akan diberi perhatian yang lebih mendalam bagi memastikan hak asasi serta keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara kita sentiasa terpelihara," katanya.

Farah Nini pernah berkhidmat di Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa selama 15 tahun.

Beliau memperoleh PhD dari Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom pada tahun 2002 dengan tesis yang menganalisa permasalahan sosioperundangan bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.

Bidang kajian beliau merangkumi perundangan mengenai pengadilan jenayah, undang-undang kanak-kanak, perlindungan remaja dalam isu kesihatan reproduktif seksual serta pelaksanaan dan penguatkuasaan hak kanak-kanak di Malaysia.

Pada 18 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pesuruhjaya Kanak-Kanak dilantik menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam usaha menangani masalah penderaan dan sosial melibatkan kanak-kanak.

-- BERNAMA