MIRI:Para pesakit yang memerlukan pengambilan ubat susulan di Hospital Miri kini boleh menggunakan perkhidmatan farmasi pandu lalu (FPL) bermula hari ini.

Dengan adanya perkhidmatan FPL itu, pesakit tidak lagi perlu menunggu lama untuk mendapatkan ubat yang diperlukan.

Walau bagaimanapun, mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut perlu menghantar pesanan ringkas (SMS) lengkap dengan butiran nama, tarikh dan waktu mereka ingin mengambil ubat terlebih dahulu.

Bagi salah seorang pengguna, Faridah Sidi, dengan adanya perkhidmatan itu dia kini dapat menjimatkan masa berbanding sebelum ini.

“Ia amat mudah sekali terutama bagi pesakit berulang yang memerlukan mereka mengambil ubat susulan selain menjimatkan masa tidak perlu mengambil nombor giliran dan tidak perlu mencari tempat letak kenderaan untuk masuk ke hospital berkenaan,” jelasnya.

Pesakit tidak lagi perlu mencari parkir dan mengambil nombor giliran untuk mengambil ubat.

Sementara itu bagi Mancha Jamit, dengan adanya perkhidmatan seperti itu ia akan melancarkan lalu lintas di kawasan hospital.

“Sangat mudah, orang ramai tidak lagi perlu beratur dan hanya tunggu di dalam kenderana untuk mengambil ubat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada majlis perasmian FPL berkenaan.

Perkhidmatan FPL tersebut telah dibina menerusi projek komuniti dengan kerjasama sukarelawan dan sumbangan Kelab Rotary Miri Oil Town (RCMOT).

Kawasan FPL yang luas memudahkan lalu lintas untuk pesakit mengambil ubat.

Pembinaan projek FPL itu telah bermula sejak 11 November tahun lalu melibatkan kos sebanyak RM150,000 dan mula beroperasi sepenuhnya Januari tahun ini.

Majlis perasmian tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (Farmasi), Abu Hassan Alshaari Abdul Jabar.