KUALA LUMPUR: Tempoh untuk Malaysia mahupun negara-negara lain memasuki fasa endemik COVID-19 antaranya bergantung kepada populasi penduduk yang sudah divaksinasi.

Selain itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata indikator lain yang perlu diperhalusi ialah jumlah penduduk yang dijangkiti pandemik itu.

Bagaimanapun, beliau berpandangan jangka masa untuk COVID-19 diisytiharkan sebagai endemik kemungkinan mengambil masa yang lebih lama berbanding influenza A (H1N1).

"Kita tidak pasti dengan jelas berapa lama waktu yang kita perlukan (memasuki fasa endemik) kerana sekarang ini kita masih bergelut dengan usaha untuk mendapatkan vaksinasi dengan secepat mungkin dan kita tahu sekiranya keberkesanan vaksin tadi mencapai sehingga lebih 90 peratus, bermakna kita memerlukan hampir 60 hingga 70 peratus daripada penduduk yang perlu diberikan imunisasi sebelum penyakit ini boleh dikawal dan pergi ke fasa endemik.

"Selain imunisasi, kita juga melakukan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan sebagainya. Sekiranya kita tidak melakukan demikian, maka kita akan berada pada fasa yang lebih lama di peringkat pandemik sebelum menuju ke peringkat endemik.

"Kalau H1N1 memerlukan hampir tiga tahun, saya rasa kita mungkin memerlukan lebih daripada tiga tahun untuk COVID-19 ini (memasuki fasa endemik), mungkin sekali ganda (tempoh) berbanding H1N1," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Syed Mohamed Aljunid berkata jika dibandingkan dengan H1N1, kadar jangkitan COVID-19 di seluruh dunia adalah lebih tinggi.

Tambahnya, fasa endemik juga boleh diklasifikasi selepas sesuatu penyakit itu berada dalam frekuensi yang rendah dan menjadi salah satu wabak yang berada dalam kalangan masyarakat.

"Ini berlaku apabila sesuatu wabak itu dimana kadar insidennya menurun akibat banyak faktor, salah satunya mungkin disebabkan oleh kadar imuniti yang telah ada dalam masyarakat disebabkan oleh imunisasi dan secara semulajadi manusia mempunyai tahap ketahanan yang disebabkan oleh jangkitan.

"Jadi apabila insiden (kes) menurun kepada tahap yang begitu rendah jika dibanding pada tahap yang memuncak pandemik, maka kita katakan keadaan (tersebut sebagai) endemik.

"Ini berlaku dalam keadaan biasa misalnya kalau kita lihat kepada pandemik H1N1 yang berlaku sekitar tahun 2009, setelah lebih kurang dua atau tiga tahun pandemik berlaku, kadarnya menurun dan akhirnya WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) mengumumkan pandemik untuk H1N1 dan beralih kepada penyakit ini endemik berada dalam masyarakat dalam waktu yang lama.

Justeru, katanya tindakan-tindakan berterusan harus dilakukan supaya tidak berlaku kembali ke fasa pandemik sekiranya penyakit itu gagal dikawal dengan baik.

Dalam perkembangan sama, Dr Syed Mohamed Aljunid berkata besar kemungkinan suntikan ketiga vaksin atau booster perlu diberikan kepada rakyat negara ini dalam mempertingkatkan tahap imunisasi.

Jelas beliau, langkah tersebut penting selepas 50 hingga 60 peratus rakyat Malaysia menerima vaksinasi.

Ia sekali gus membolehkan Malaysia mengawal pandemik sebelum ia memasuki fasa endemik. 

"Kedua, kita akan mempunyai pelbagai varian baharu dan varian-varian ini mungkin akan menyebabkan vaksin yang kita ada sekarang menghadapi cabaran dan mungkin vaksin booster akan disesuaikan dengan varian-varian yang ada pada masa hadapan untuk pastikan ia tetap efektif lebih 90 peratusan," katanya.