KUALA LUMPUR: Perkhidmatan laluan pantas atau 'fast track' Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan yang diperkenalkan pada 2021 berjaya menyelesaikan kes antaranya cerai dalam masa sehari.

Bagaimanapun Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) Mohd Asri Tahir berkata pihak-pihak perlu mempunyai persetujuan bersama sebelum kes berkenaan didaftarkan di kaunter Mahkamah Rendah Syariah Laluan Pantas.

"Kes itu kemudian akan didengar dan diadili oleh hakim yang dikhaskan untuk mengendali kes berkenaan di dewan Mahkamah Syariah Laluan Pantas dan mahkamah akan memberi perintah bertulis pada hari sama kes didaftarkan.

"Terdapat lima kes iaitu tuntutan cerai, pengesahan lafaz cerai, permohonan pengesahan rujuk, permohonan wali hakim dan permohonan perintah bersaling atau pengendorsan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah negeri lain, dikendalikan Mahkamah Syariah Laluan Pantas," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Mohd Asri berkata sebelum perkhidmatan itu diperkenalkan, pihak-pihak perlu menunggu dalam tempoh 21 hari untuk mendapatkan tarikh sebutan di hadapan hakim selepas kes difailkan di mahkamah.

Pewujudan sistem itu katanya telah mengurangkan kes tertunggak, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan MSWP khususnya dan masyarakat Wilayah Persekutuan amnya.

Sehubungan itu, katanya perkhidmatan mahkamah laluan pantas telah diperluaskan ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya mulai 6 Mac lepas.

Menurutnya sebanyak 4,743 kes diselesaikan menerusi perkhidmatan laluan pantas itu dengan 797 kes atau 100 peratus selesai di dewan mahkamah berkenaan pada 2021; 1,660 kes atau 99.75 peratus selesai pada 2022 dan 2,286 kes atau 97.56 peratus selesai pada 2023.

Dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, beliau berkata selain dewan laluan pantas, MSWP juga mewujudkan dewan mahkamah khusus untuk pengendalian kes hadhanah, nafkah serta jenayah agar pengendalian kes menjadi lebih cekap.

Sementara itu, peguam Syarie Nur Hidayah A. Bakar berkata perkhidmatan itu dapat mengurangkan tempoh masa penyelesaian kes dan kos pihak-pihak untuk hadir ke mahkamah.

"Pelanggan saya gembira dengan perkhidmatan laluan pantas ini kerana kes mereka dapat diselesaikan dengan cepat dan mereka tidak perlu hadir ke mahkamah berulang kali untuk mendapatkan tarikh sebutan depan hakim," katanya.

Seorang pekerja swasta Siti Khadijah Abdullah, 45, berkata Mahkamah Syariah Laluan Pantas sangat memudahkan urusan pihak-pihak untuk kes perceraian.

"Saya memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah Laluan Pantas. Ia hanya mengambil masa beberapa jam untuk selesai," katanya.

-- BERNAMA