AHLI jawatankuasa baharu Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) diingatkan, tidak melupai tujuan asal persatuan tersebut ditubuhkan pada tahun 1990 dahulu.

Matlamat penubuhan FDAM ialah untuk menjadi pencetus dan pendokong gagasan Filem Nasional Malaysia, selain dari menjadi pembawa suara kalangan pengarah filem yang dihormati dan dipandang tinggi.

Setelah 30 tahun persatuan ini ditubuhkan biarlah ianya menjadi entiti yang utama, yang dapat menyumbang dengan erti kata sebenarnya, kepada ketinggian nilai sinema Melayu, sinema Malaysia yang dipandang tinggi oleh masyarakat dan khalayak filem sejagat.

Dengan pencapaian yang baik, industri  akan berkembang dan membawa banyak kebaikan kepada karyawan filem, khususnya kalangan pengarah filem yang menjadi tulang belakang industri, lebih-lebih lagi dalam era teknologi sinema baru tanpa sempadan yang tebuka, kini.

Walaupun perkara-perkara berkaitan kebajikan dan kesejahteraan ahli-ahli penting, namun pembangunan nilai filem-filem kita patut sekali diutamakan.

Perkara berkaitan profesionalisme, perlindungan dan kebajikan pengarah filem juga patutlah coba diinstitunalisasikan.

Sebagai persatuan peneraju industri, FDAM boleh memainkan peranannya  menjayakan idealisme, dan agenda perfileman negara dengan berkesan, sekiranya ahli-ahlinya punya keupayaan profesional yang tinggi, dalam pekerjaan masing-masing.



* Dr Mahadi J Murat ialah Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia serta pengasas FDAM. Beliau kini bertugas sebagai Profesor Filem dan Pengajian Media di International University of Malaya - Wales.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.