Skip to main content

Dunia

Indonesia kecam undang-undang hukuman mati Israel terhadap warga Palestin

41736983513_GazaPalestineHam.jpg
Kementerian Luar Negeri Indonesia dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan dasar tersebut sebagai tidak boleh diterima kerana meminggirkan prinsip keadilan serta nilai kemanusiaan sejagat. -Gambar fail

JAKARTA: Indonesia menyertai komuniti antarabangsa mengecam kelulusan undang-undang oleh Israel yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, yang disifatkan bersifat diskriminasi terhadap warga Palestin.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan dasar tersebut sebagai tidak boleh diterima kerana meminggirkan prinsip keadilan serta nilai kemanusiaan sejagat.

Advertisement

Menurut kenyataan itu, undang-undang berkenaan hanya menyasarkan penduduk Palestin dan tidak terpakai ke atas warga Israel yang didakwa melakukan kesalahan serupa.

“Langkah ini merupakan pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva Keempat serta Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Madani dan Politik,” jelas kementerian itu menerusi hantaran di media sosial.

Indonesia menegaskan bahawa instrumen antarabangsa tersebut menjamin hak untuk hidup serta hak mendapatkan perbicaraan yang adil bagi setiap individu tanpa mengira latar belakang.

Tindakan Knesset meluluskan perundangan berkenaan dilihat sebagai satu lagi langkah yang berpotensi memburukkan situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki.

Terdahulu, Kesatuan Eropah (EU) dan Jerman turut menyuarakan kebimbangan serupa dengan menyifatkan undang-undang tersebut sebagai satu langkah ke belakang yang jelas daripada norma antarabangsa.

Jakarta terus menggesa agar tekanan antarabangsa dipertingkatkan bagi memastikan Israel mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara konsisten.

Must Watch Video