FELDA United mahu menutup cerita lama mengenai soal pelesenan kelab kerana yakin perkara sama tidak akan terjadi lagi bagi menghadapi musim 2018 dengan fokus untuk memburu kejuaraan Piala FA atau Piala Malaysia selain gelaran Liga Perdana.

Kepahitan diturunkan pangkat ke Liga Perdana tidak melemahkan semangat Felda yang berazam terbang tinggi pada musim ini.

Presiden Felda United, Datuk Abdul Ghani Mohd Ali, menganggap isu itu selesai dan jika dinaikkan ke Liga Super 2019, beliau menjamin perkara sama tidak akan menyekat hajat Felda.

"Kami mahu melihat ke hadapan dengan mengetepikan perkara yang berlaku sebelum ini dan dijadikan sebagai pengajaran," katanya.

Sementara itu, Felda buat pertama kali melanggar tradisi warna oren, dengan hitam menjadi pilihan di majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain.

Kapten pasukan, Shukor Adan, menegaskan warna jersi bukanlah keutamaan, sebaliknya prestasi pasukan.

"Warna jersi ini tidak penting tetapi prestasi di atas padang menjadi keutamaan. Selepas tersingkir ke Liga Perdana, kami perlu membuktikan semula kualiti yang dimiliki pasukan untuk kembali ke Liga Super," kata Shukor.