Keadaan hujan berlebihan yang dialami sejak kebelakangan ini khususnya di Lembah Klang adalah disebabkan oleh kesan fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO), kata pakar.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Fredolin Tangang berkata negara kini berada dalam musim Monsun Barat Daya dan sepatutnya cuaca sepanjang bulan ini adalah panas dan kering.

"Fenomena MJO adalah sebahagian dari keragaman iklim dalam musiman di kawasan tropika yang berayun dengan kekerapan sekali dalam 20 hingga 60 hari yang berlaku dalam lapan fasa.

"MJO berlaku akibat interaksi lautan dan atmosfera menyebabkan kemunculan sistem perolakan atmosfera berskala besar di bahagian barat Lautan Hindi yang bergerak ke timur Lautan Pasifik merentasi kawasan Malaysia dan Indonesia," katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keadaan hujan berlebihan yang dialami kawasan sekitar Lembah Klang pada lewat petang termasuk fenomena ribut petir luar biasa.

Dalam pada itu, Fredolin berkata melalui kajian yang dilakukan, keadaan MJO pada musim Monsun Barat Daya antara bulan Jun hingga Ogos akan meningkatkan curahan hujan di kawasan pantai barat Semenanjung berbanding di kawasan pantai timur.

Beliau berkata berdasarkan laporan Pusat Ramalan Iklim Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat, MJO muncul di Lautan Hindi dengan peningkatan perolakan atmosfera berskala besar pada minggu pertama bulan ini dan kini berada dalam Fasa 3.

"Keadaan ini menyebabkan curahan kadar hujan tinggi yang dialami ketika ini adalah menyamai keadaan pada April hingga Mei dengan kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia biasanya mengalami hujan pada sebelah petang hingga lewat malam.

"Bagaimanapun keadaan ini hanya akan bertahan dalam masa satu hingga dua minggu lagi apabila fenomena ini bergerak ke arah timur dan pusat perolakan melepasi kawasan kita," katanya.

Beliau menambah negara dijangka akan alami cuaca yang lebih panas dan kering apabila fenomena MJO beralih ke arah timur dan berada dalam fasa-fasa 4 hingga 7.