KUALA LUMPUR : Fenomena kepala air yang dikaitkan dengan hujan lebat bukan sesuatu yang asing di Malaysia.

Menurut Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana Universiti Teknologi Maklumat UTM, Dr Khamarrul Azahari Razak, antara faktor utama ia berlaku ialah apabila empangan sementara mengalami tekanan tinggi sehingga menyebabkannya pecah.

Fenomena tersebut turut menyebabkan kadar air sungai meningkat secara mendadak dan banjir kilat di kawasan penempatan terutama di kawasan tinggi, sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda.

“Kejadian ini boleh berlaku di kawasan peranginan, kawasan hutan simpan dan kawasan cerun tinggi seperti air terjun dan sebagainya.

“Apa yang berlaku semalam adalah satu peringatan bagaimana mereka yang berada di kawasan tersebut perlu menyedari risiko yang ada.

“Contohnya di kaki Gunung Jerai, mempunyai ciri-ciri yang memungkinkan fenomena kepala air berlaku lagi di masa hadapan, dengan aliran sungai yang deras dan himpunan kayu kayan yang terbentuk sehingga menyebabkan empangan pecah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.


Insiden Kepala Air | Memahami fenomena kepala air

Jelasnya, antara langkah awal yang boleh dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya kejadian sama termasuk memetakan sesuatu kawasan berisiko dan mengambil tindakan mitigasi secara berstruktur atau sebaliknya.

“Apa yang penting adalah kita mengetahui risiko awal, adakah kawasan seumpamanya, seperti di kawasan air terjun dan kawasan peranginan yang berisiko.

“Kawasan ini perlu dipetakan nilai risikonya untuk mengambil tindakan mitigasi berstruktur atau sebaliknya, komuniti setempat juga perlu dimaklumkan awal dan satu sistem amaran awal seperti siren perlu disediakan bagi membolehkan penduduk setempat untuk berpindah dari kawasan tersebut,” ujarnya.

Pada masa sama, komuniti setempat di kawasan bersiko dan pengunjung perlu menyedari tahap risiko semasa sebelum bencana sama berulang.

BACA: Bencana Gunung Jerai: Banjir bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan - Sanusi
 

Khamarrul mengulas perkara tersebut susulan kejadian fenomena kepala air dari kawasan puncak Gunung Jerai sehingga menyebabkan banjir kilat melibatkan beberapa kampung dan kawasan perumahan di kawasan kaki Gunung Jerai di Yan dan Kuala Muda pada Rabu. 

Namun, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan mengatakan kejadian tersebut akibat aktiviti pembalakan. 

Ia sebaliknya berlaku akibat hujan lebat sejak beberapa hari lepas.