BUTTERWORTH:Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kesal dan kecewa dengan keputusan kerajaan Persekutuan yang tidak meneruskan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang.

Menurut Guan Eng, sewajarnya perkhidmatan feri itu diteruskan memandangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan sudah memperuntukkan RM30 juta untuk pemodenan perkhidmatan feri tersebut.

Katanya, beliau mewakili suara dan hasrat penduduk Pulau Pinang yang inginkan perkhidmatan itu diteruskan.

"Kita masih bertegas bahawa ia harus dikekalkan. Kami amat kecewa, kesal dan hampa kerana kerajaan Persekutuan enggan meneruskan perkhidmatan feri yang merupakan satu produk ikonik untuk Pulau Pinang.

"Ia tak seharusnya dihentikan. Saya rasa tak logik langsung dan tak masuk akal sama sekali," dakwanya di sini, hari ini.

Sebelum ini Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan memberi jaminan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang akan diteruskan dengan menawarkan perkhidmatan yang moden demi keselamatan dan keselesaan penumpang.

BACA: Perkhidmatan feri P.Pinang diteruskan, beri keutamaan keselamatan penumpang

BACA: 
Feri ikonik P. Pinang hanya untuk motosikal, basikal bermula 1 Jan

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerja naik taraf boleh dilaksanakan menerusi pelbagai aspek bagi menjamin keselamatan penumpang.

"Kita kena lihat nilai warisan juga. Tak semestinya kita ukur atau nilai dalam bentuk wang sahaja. Benda warisan ini tak boleh dibeli dengan wang.

"Kita harus kekalkan. Mengenai keselamatan... ini boleh dinaik taraf. Kalau sebut tentang enjin tak ada alat ganti kerana sudah lama, lapuk, kita boleh cari enjin baharu...

"Tak ada masalah. Ini pun bukan satu perkara baharu... Ini telahpun dilakukan di negara-negara asing seperti Kanada dan Hong Kong. Mereka mereka boleh kekalkan feri-feri lama," katanya.


Guan Eng berkata demikian ketika mengadakan lawatan di Terminal Feri Pangkalan Sultan Abdul Halim, di Butterworth pada Ahad.

Semalam, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dalam satu kenyataan memaklumkan, bermula 1 Januari ini, perkhidmatan feri lama hanya boleh digunakan oleh penunggang motosikal dan basikal.

Perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya dan perkhidmatan bot laju pula akan digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki.