Ferrari 488 GTB terbaharu sudah diperkenalkan ke pasaran tempatan selang hanya beberapa bulan setelah debut globalnya di pameran kereta Geneva awal Februari lalu.
“Ferrari 488 GTB ini menghasilakan 661hp – output kuasa tertinggi untuk mana-mana Ferrari (untuk jalan raya biasa). Sangat berkuasa dan dengan kadar penggunaan bahan api lebih baik, model ini pastinya kan menjadi model pilihan,” kata Datuk Wira Hj. SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin (gambar di bawah), Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan CEO Kumpulan, Naza World Group of Companies.
Antara kelainan pada model ini adalah ianya model pertama dari pengeluar ini yang menggunakan pengecas turbo sejak model lagenda F40. Selain itu ia juga tiba genap 40 tahun setelah Ferrari 308, model pertama daripada Ferrari yang menempatkan enjinnya di tengah casis, sepertimana juga ia ditempatkan pada 488 GTB.
Dikatakan supercar ini direka dengan tindakbalas enjin yang pantas – hanya 0.8 saat pada 2,000rpm. Ia juga mampu memecut dari rehat ke 200km/j dalam masa hanya 8.3 saat. Namun, ia juga direka agar selesa dan mudah untuk dipandu, mahupun ketika dipandu dengan laju.
(Pecutan 0-100km/j mengambil masa 3.0 saat)
Kotak gear adalah jenis klac berkembar tujuh kelajuan.
(Klik untuk galeri penuh)
Dari segi rekaan memang terdapat persamaan dengan model 458 yang digantinya, tetapi bahagian sisi dan belakang GTB baharu ini menunjukkan keunikkan yang jelas. Kemampuan aerodinamik kereta ini juga menarik perhatian – daya tekan yang wujud pada kelajuan 250km/j telah meningkat ke 325kg. Antara penyumbang kepada keadaan ini adalah aplikasi aerodinamik aktif.
Kemampuan dinamik 488 GTB ini turut datang daripada teknologi terkini termasuk Side Slip Control System (SSC2) dan suspensi aktif; kedua-duanya bersama teknologi F1-Trac dan E-Diff menjadikan pengambilan selekoh lebih stabil.
Harga bagi Ferrari 488 GTB ini adalah RM1,068,000 tanpa cukai dan pilihan-pilihan indivdu yang boleh dibuat.
(Klik untuk galeri penuh)
Majlis pelancaran Ferrari 488 GTB ini dibuat di bilik pameran Naza Italia Sdn Bhd. yang baharu dikemaskini (gambar di bawah). Di sini, kesemua model-model supercar Ferrari dan Maserati ditempatkan di bawah satu bumbung untuk memberi pengalaman dunia kereta berprestij Itali yang terbaik.
Selepas ini Naza Italia bercadang untuk menaik taraf pusat servis sedia ada untuk bersiap sedia menampung keperluan semua pemilik Ferrari dan Maserati yang semakin meningkat.