KUALA LUMPUR: Festival Amerika Latin ke-14 yang akan berlangsung pada 11 Jun di Kuala Lumpur dijangka menarik lebih ramai penduduk bandar untuk mengenali kekayaan budaya Amerika Latin.

Duta Argentina ke Malaysia Manuel Balaguer Salas yang juga Dekan Kumpulan Kedutaan Amerika Latin dan Carribean di Malaysia (GRULAC) berkata festival itu juga akan menjadi peristiwa penting kerana ia menjadi jambatan untuk mengeratkan lagi persahabatan antara negara Amerika Latin dan Malaysia.

"Festival itu menjadi bukti warisan kita bersama, menyatukan kita dalam perayaan sambil memahami semangat keterangkuman dan perpaduan.

"Ia memberi kami peluang untuk meneroka pelbagai aspek budaya Amerika Latin, menghargai kedua-dua persamaan dan kelainan yang menjadikan setiap negara tersendiri.

"Melalui festival ini, kami berhasrat untuk memupuk persefahaman budaya antara negara kami dan Malaysia, membina jambatan persahabatan dan menggalakkan dialog dalam kalangan rakyat.

"Kami percaya dengan mempamerkan kekayaan tradisi, kami boleh memecahkan halangan dan menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap kepelbagaian warna-warni kehidupan di Amerika Latin," kata Salas dalam sidang media di sini pada Selasa.

Semua hasil daripada acara itu akan disumbangkan kepada Rumah Amal Cheshire Selangor untuk membiayai projek "Kafe Kabin Makanan", bertujuan untuk melatih belia kurang upaya untuk pekerjaan masa depan dalam industri perhotelan.

Festival sehari itu yang disertai sembilan kedutaan Amerika Latin iaitu - Argentina, Brazil, Chile, Colombia, Cuba, Mexico, Peru, Uruguay dan Venezuela, akan berlangsung dari 11 pagi hingga 5.30 petang pada Ahad (11 Jun) di Commons KL, Jalan Bukit Bintang.

Acara itu anjuran bersama Kedutaan Amerika Latin dan Kumpulan Negara Caribbean (GRULAC), bersama Plaza Low Yat, Federal Hotels International, Persatuan Wanita Latin Malaysia, dan disokong oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/lafmalaysia.

-- BERNAMA