Skip to main content

Malaysia

KTMB perkasa perkhidmatan makanan dan minuman di ETS, sokong PMKS

71738074100_TBETS.jpg
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkukuh pengalaman perjalanan penumpang yang menggunakan tren elektriknya (ETS) melalui pemerkasaan perkhidmatan makanan dan minuman di dalam tren. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkukuh pengalaman perjalanan penumpang yang menggunakan tren elektriknya (ETS) melalui pemerkasaan perkhidmatan makanan dan minuman di dalam tren.

Ini selaras dengan komitmennya untuk menawarkan perjalanan yang lebih selesa, berkualiti dan menepati gaya hidup kini, demikian maklum KTMB menerusi satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Menurut KTMB, perkhidmatan makanan dan minum di ETS kini dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat pengangkutan awam itu melalui penjenamaan ‘Stesen’, dengan membawa pendekatan lebih segar, moden dan berteraskan citarasa semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Datuk Azlan Shah Al-Bakri berkata langkah berkenaan bertujuan memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelanggan di dalam tren selain menawarkan sajian yang lebih segar serta berkualiti.

“Malah, pendekatan ini turut membuka peluang kepada produk makanan tempatan untuk diperkenalkan kepada kelompok pengguna yang lebih luas dan pelbagai latar belakang, termasuk pelancong asing, sekali gus menyokong ekosistem perniagaan tempatan.

"Melalui inisiatif tersebut penumpang ETS kini boleh menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman, terutamanya sajian tempatan seperti aneka kuih-muih serta hidangan yang memenuhi citarasa rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, usaha tersebut turut membuka peluang kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk memasarkan produk makanan mereka dengan lebih meluas, termasuk kepada pelancong asing.

Menurut KTMB, langkah ini juga selari dengan tumpuan Kerajaan yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mengembangkan perusahaan daripada mikro kepada kecil dan daripada kecil kepada sederhana, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif dan mampan.

"Bagi menyokong pelaksanaan tersebut, setiap perkhidmatan ETS turut dilengkapi dengan kru perkhidmatan khusus yang mengendalikan bistro serta menawarkan makanan dan minuman kepada penumpang sepanjang perjalanan,” maklum KTBM.

KTMB yakin dengan penambahbaikan perkhidmatan itu akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan ETS sebagai pilihan utama pengangkutan rel moden di negara ini.

--BERNAMA

 

Must Watch Video