KUALA LUMPUR: Penganjuran World Labour Day Celebration Rain Rave Water Music Festival menjana pulangan ekonomi keseluruhan melebihi RM392 juta hasil kehadiran ratusan ribu pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata festival yang turut dianjurkan di beberapa lokasi di seluruh negara itu menarik kira-kira 150,000 pengunjung domestik serta 100,000 pelancong asing.
Beliau berkata kehadiran pengunjung berkenaan menyumbang anggaran pulangan ekonomi sebanyak RM320.43 juta, manakala penganjuran di enam lokasi lain menjana tambahan RM71.9 juta.
“Festival ini menarik kira-kira 150,000 pengunjung domestik termasuk Sabah dan Sarawak serta 100,000 pelancong asing daripada negara China, Jepun, Bangladesh, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan lain-lain, dengan anggaran pulangan RM320.43 juta kepada ekonomi.
“Pada masa yang sama, penganjuran di enam negeri termasuk Terengganu, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor dan Langkawi menarik kira-kira 165,000 pengunjung dan menjana anggaran pulangan ekonomi sebanyak RM71.9 juta,” katanya dalam sesi soal jawab di Parlimen, pada Selasa.
King Sing berkata kerajaan memilih untuk mengekalkan kemasukan percuma kepada orang ramai walaupun festival berkenaan berpotensi menjana hasil antara RM50 juta hingga RM75 juta sekiranya tiket dikenakan bayaran RM200 hingga RM300 seorang.
Beliau menambah, manfaat ekonomi turut diagihkan secara lebih meluas kepada pemain industri pelancongan dan perniagaan tempatan.
Menurutnya, sebanyak 80 hotel di seluruh negara menawarkan diskaun antara 30 hingga 50 peratus sempena festival berkenaan dengan kebanyakannya merekodkan kadar hunian hampir 100 peratus.
Selain itu, beberapa pusat beli-belah utama di ibu negara turut menerima tempias positif apabila merekodkan peningkatan jualan sehingga hampir 45 peratus dan peningkatan pengunjung sehingga 31 peratus.