KUALA LUMPUR: Pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX) akan diteruskan seperti dirancang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Beliau berkata projek itu telah lama dirangka dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat keharmonian masyarakat.
“Kita akan teruskan kerana ini perancangan yang sudah lama dan insya-Allah kita berdoa supaya dapat melaksanakannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat pihak didakwa menggesa pembinaan Masjid Warisan itu dibatalkan kerana dikatakan berpotensi menimbulkan ketidakharmonian dan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
Zulkifli berkata pihak yang mempunyai kebimbangan berhubung pembinaan masjid itu boleh mendapatkan penjelasan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Terdahulu, Zulkifli menyerahkan surat pelantikan Ahli Jawatankuasa Kariah (AJK) Masjid dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan bagi sesi 2026-2029 di Masjid Al-Khadijah, Kampung Pantai Dalam di sini.
Sebanyak 3,010 pencalonan bagi AJK Masjid dan Surau Jumaat untuk sesi 16 Jun 2026 hingga 15 Jun 2029 diterima melibatkan 91 masjid dan 124 surau Jumaat.
Daripada jumlah itu, 2,914 calon dipilih selepas melalui proses tapisan keutuhan yang melibatkan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Insolvensi.
-- BERNAMA