GENEVA: Siasatan bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa pihak berkuasa dan pasukan keselamatan Israel sengaja menyasarkan kanak-kanak Palestin, yang disifatkan sebagai sebahagian daripada genosid di Gaza, lapor Al Jazeera.
Laporan terbaharu Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki itu turut menyatakan tindakan berkenaan merangkumi jenayah kemanusiaan dan jenayah perang di Gaza, serta jenayah perang di Tebing Barat.
Pengerusi suruhanjaya, Hakim Srinivasan Muralidhar berkata bukti yang dikumpul menunjukkan kanak-kanak Palestin disasar dan dibunuh secara sengaja, termasuk selepas perjanjian gencatan senjata bermula Oktober tahun lalu.
“Dengan menyasarkan kanak-kanak, Israel sebenarnya sedang menyerang keupayaan asas rakyat Palestin untuk wujud dan menentukan masa depan mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan yang mengiringi laporan itu.
Menurut laporan tersebut, kanak-kanak merangkumi kira-kira 30 peratus daripada jumlah korban di Gaza, dengan sekurang-kurangnya 20,179 maut dalam tempoh dua tahun pertama konflik.
Laporan itu turut menyatakan sekatan bantuan, kemusnahan infrastruktur kesihatan serta serangan berterusan telah menyebabkan krisis pelarian, kebuluran dan trauma besar-besaran, selain peningkatan kes keguguran dalam kalangan wanita hamil.
Bagaimanapun, perwakilan Israel di Geneva menolak dapatan tersebut dan menyifatkan laporan itu sebagai fitnah serta rekaan, selain mendakwa ia mengabaikan taktik pertempuran Hamas di kawasan padat penduduk.
Israel turut menegaskan pihaknya berusaha meminimumkan kecederaan terhadap orang awam.