KUALA LUMPUR: Serah semula mandat kepada rakyat melalui pilihan raya adalah antara jalan terbaik dalam menyelesaikan situasi politik negara pada ketika ini.

Bagaimanapun, jelas Felo Penyelidik UMCEDEL, Amer Saifude Ghazali, pihak berkepentingan terutama kerajaan perlu memikirkan keselamatan rakyat sebelum mengadakan pilihan raya.

"Saya rasa buat masa ini, jalan yang paling baik ialah menyerahkan balik kepada mandat tetapi pihak-pihak yang berkepentingan di sini harus mempunyai political will, harus berusaha menjayakannya. Katalah apa yang berlaku hari ini, Kerajaan PN kata nak menyerahkan kepada rakyat.

"Dalam erti apabila nak mengadakan pilihan raya, sesuatu pihak perlu menjalankan pilihan raya itu. SPR kena menyediakan secara lengkapnya SOP," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis. 

Kata Amer Saifude, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan pilihan raya yang diadakan dilaksanakan dalam keadaan norma baharu dan menggunakan mekanisme yang adil untuk semua pihak berkepentingan.

"Cara lama mungkin kita bertemu dengan rakyat berkempen secara terus, mengunjungi rumah ke rumah dan kita tahu sebelum ini, Pilihan Raya Sabah telah melihatkan kesan kepada akibat pelaksanaan pilihan raya ini.

"Kalau (pilihan raya diadakan) sekarang, tentu lebih vulnarable, tentu kesannya adalah lebih besar. Jadi SPR perlu melihat bagaimana nak adakan pilihan raya seperti guna kaedah media sosial dan sebagainya. SPR kena bersedia bagaimana nak laksanakannnya. SPR juga perlu berlaku adil kepada semua pihak yang berkepentingan," tambahnya lagi. 

Apa yang penting katanya, ialah bagaimana hendak meyakinkan rakyat supaya terlibat dengan
politik iaitu memastikan peratusan keluar mengundi berada pada tahap kebiasaan atau lebih tinggi.
 
"Dalam norma baharu, macam mana nak pastikan keterlibatan rakyat itu sendiri. Jadi pentingnya mengembalikan keyakinan kepada rakyat. Rakyat rasa nak keluar mengundi, namun tidak merasakan kesannya. Bagaimana kerajaan yang mengendalikan pilihan raya itu supaya dapat meyakinkan rakyat terlibat dalam pilihan raya ini," kata beliau lagi.