KUALA LUMPUR: Perpaduan adalah kunci kepada kemenangan. Menerusi perpaduan dan kerjasama, tiada apa yang tidak dapat kita atasi termasuklah mengharungi wabak pandemik. 

Mengangkat kisah keperitan petugas barisan hadapan yang berjuang sewaktu kemuncak pandemik, Juang diarahkan oleh lima sutradara berkaliber - Aziz M Osman, Datuk Yusry Abd. Halim, Matt Lai, Kabir Bhatia dan Osman Ali - sebagai penghormatan kepada barisan hadapan (frontliner) di Malaysia yang sanggup bertarung nyawa demi menyelamatkan masyarakat.

Menurut ketua pengarah, Matt Lai, Juang disifatkan sebagai naskhah istimewa kerana meninggalkan sejarah tersendiri.

“Lima pengarah hebat dibantu 165 tenaga di sebalik tabir yang cukup komited juga telah menjadikan Juang sebagai sebuah naskhah yang cukup istimewa. Lebih membanggakan, Juang mencipta rekod apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Most Movie Casts In A Feature Film (Filem Dengan Karyawan Seni Paling Ramai) dengan pembabitan lebih 500 pemain industri hiburan tempatan,” ujar Matt Lai.

Gambar: JUANG Astro Shaw

Gambar: JUANG Astro Shaw

Penerbit Eksekutif dari The Film Engine, Jack Lim menyifatkan Juang ditayangkan pada waktu tepat untuk mengenang semula perjuangan, keperitan, kesedihan atau sejarah yang telah mengubah kehidupan masyarakat sedunia.

Juang dibarisi aktor dan aktres handalan berbilang kaum termasuk Zul Ariffin, Zizan Razak, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta, Chew Kin Wah, Angelin Tan, Steve Yap serta penampilan Allahyarham Adibah Noor.

Filem ini diperkuat dengan lagu tema Wira Hatiku dendangan Datuk Sheila Majid bersama iringan muzik terbaik dari Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO). Lebih istimewa, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menyumbangkan suara untuk lagu berjudul Sama-Sama.

Gambar: JUANG Astro Shaw

Sementara itu, meninjau maklum balas penonton di Zhaf Vlog, rata-rata berpendapat Juang mempunyai daya 'penarik' untuk ke panggung wayang.

"Aku kasi rating 4.7 untuk Juang. Susah nak jumpa filem macam ni dekat Malaysia," tulis Henry Rasta Studio.

"Tragis dan menyayat hati. Sangat berbaloi untuk ditonton. Part Mat Luggage tu tunjuk call dengan anak dia dalam kapal tu aku tak boleh tahan dah," tulis Mike Lee.

Juang yang merupakan terbitan Asia Tropical Films, The Film Engine dan Astro Shaw mula ditayangkan di seluruh pawagam negara bermula 8 September 2022.