KUALA LUMPUR: Filem 'Mat Kilau' berjaya mengumpul RM80 juta dari hasil kutipan tiket selepas 25 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Perkara itu dimaklumkan pengarah Syamsul Yusof dalam entri terbaharu di laman Instagramnya pada Sabtu.

Jelas Syamsul, beliau bersyukur dengan kejayaan filem Mat Kilau itu serta sokongan rakyat Malaysia terhadap filem tempatan.

"Allah lah yang telah gerakkan hati kalian untuk membeli tiket tonton filem ini! Sujud syukur! #matkilau," katanya.

Dalam pada itu jelas Syamsul, sudah tiba masanya industri filem Malaysia kembali bangkit.

"Pada yang memberi komen positif untuk filem saya, syukur dan terima kasih saya amat terharu dan hargai anda!

"Pada yang katakan filem saya kali ini sampah atau lemah, juga saya terima dengan berlapang dada, kerana there's no such thing as perfect film," jelas Syamsul.

Tambahnya, beliau akan terus fokus sedaya upaya bagi membawa industri perfileman Malaysia ke satu peringkat yang lebih baik.

"Insya-Allah saya akan terus fokus dan sedaya upaya bawa industri filem Malaysia ke satu peringkat yang lebih baik walau terlalu banyak kelemahan dalam industri filem Malaysia.

"Kelemahan inilah yang telah membunuh industri dan pengkarya filem!

"FINAS, orang filem dan kerajaan, ayuhlah bangkit baiki kelemahan industri filem. Ayuh ikhlas dalam perjuangan ini," katanya lagi.