Skip to main content

Malaysia

Filem PG-18 tidak lagi dipotong, LPF bergerak secara progresif - FINAS

KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (kanan) bersama Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac dan pada sidang media Majlis Perasmian Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Menara Finas Damansara hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azmir (kanan) berkata, keterbukaan dalam penapisan penting supaya industri filem tempatan tidak dibebani sekatan, seiring hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan sektor itu lebih terbuka. - Gambar Bernama
Advertisement

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyokong pendekatan lebih terbuka dalam proses penapisan karya bagi memastikan industri perfileman negara dapat berkembang dengan kreatif dan kompetitif.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pendekatan itu sejak awal selari dengan pendirian Finas serta Lembaga Penapis Filem (LPF), yang dilihat semakin terbuka dalam tahun kebelakangan ini.

“Saya rasa ini memang pendekatan Finas dan juga LPF. Kita selalu bekerjasama dengan LPF.

“Kalau kita tengok dari sudut dua, tiga tahun yang lepas, LPF telah bergerak lebih terbuka, mereka cenderung kepada 'openness censorship'.

"Kalau kita tengok mereka punya kadar penilaian sudah berubah, misalnya filem bimbingan penjaga 18 (PG18) sudah tiada babak dipotong serta dibenarkan untuk ditayangkan, tetapi filem itu kanak-kanak tidak boleh tonton.

"Itu satu progresif yang memang kita inginkan LPF bergerak sedemikian, kita mahukan industri ini lebih terbuka," ujar Azmir.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Menara Finas Damansara, di sini, pada Isnin.

Katanya lagi, keterbukaan dalam penapisan penting supaya industri filem tempatan tidak dibebani sekatan, seiring hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan sektor itu lebih terbuka.

Pada masa sama, keterbukaan itu perlu disertai penekanan terhadap aspek budaya bagi memastikan karya tempatan mempunyai identiti tersendiri dan mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Seterusnya, Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac berkata, karya tempatan harus terlebih dahulu menguasai pasaran Asia sebelum menyasarkan pengiktirafan lebih besar di Eropah dan Amerika Syarikat.

Menurutnya, Malaysia perlu membina kedudukan sebagai kuasa perfileman di rantau ini sebelum mengharapkan kejayaan di pentas Hollywood atau Anugerah Akademi (Oscars).

Hans berkata, sasaran ke Oscar tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan pembangunan industri secara berperingkat termasuk dari segi dana, latihan dan kerjasama produksi antarabangsa.

Must Watch Video

Advertisement