Skip to main content

Malaysia

SPRM tubuh pasukan khas teliti semula dakwaan rasuah RM350,000 babit pegawai kanan

Abd Halim berkata arahan penubuhan pasukan khas itu dikeluarkan segera susulan gesaan serta penularan semula isu berkenaan baru-baru ini. - Gambar fail/Bernama
Abd Halim berkata arahan penubuhan pasukan khas itu dikeluarkan segera susulan gesaan serta penularan semula isu berkenaan baru-baru ini. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti semula dakwaan rasuah berjumlah RM350,000 yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanannya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata arahan penubuhan pasukan khas itu dikeluarkan segera susulan gesaan serta penularan semula isu berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan integriti SPRM terus terpelihara dan keyakinan masyarakat terhadap institusi pencegahan rasuah itu tidak terjejas.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan bahawa dakwaan berkenaan pernah disiasat pada 2018, namun kes itu ditutup selepas tiada sebarang kesalahan dapat dibuktikan.

“SPRM menegaskan bahawa pihak suruhanjaya tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang isu yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi ini.

“Sehubungan itu, SPRM menasihati semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita yang belum dipastikan kesahihannya berhubung isu berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa SPRM dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengambil tindakan segera berhubung dakwaan penerimaan wang rasuah berjumlah kira-kira RM350,000 yang dikaitkan dengan pegawai kanan SPRM itu.

Presiden MCW Jais Abdul Karim dilaporkan berkata dakwaan yang merujuk kepada kejadian pada 13 Nov 2017 itu tersebar di media sosial sejak semalam, namun belum ada penjelasan rasmi yang dapat disahkan mengenai status siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement