Skip to main content

Malaysia

FKMM serah petisyen 20,800 tandatangan bantah pindaan Akta 634 sertai UPOV 1991

Petisyen Petani_Astro AWANI
FKMM menyerahkan memorandum dan petisyen berkenaan kepada beberapa Ahli Parlimen di hadapan pintu utama Bangunan Parlimen pada Rabu.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) mengumpulkan 20,800 tandatangan rakyat Malaysia menerusi satu petisyen bagi membantah pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) yang dikaitkan dengan penyertaan negara dalam Konvensyen UPOV 1991.

Koordinator FKMM, Nurfitri Amir Muhammad, berkata pihaknya bersama kumpulan petani, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan pengguna, aktivis mahasiswa serta ahli akademik mengemukakan memorandum dan petisyen itu bagi menyatakan bantahan keras terhadap cadangan pindaan akta berkenaan.

Menurutnya, terdapat tiga faktor utama yang menjadi asas penolakan terhadap UPOV 1991, iaitu ancaman biopirasi, penafian hak tradisi petani melalui takrifan benih moden, serta kewujudan kelompongan perundangan yang didakwa bercanggah dengan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta ABS 795).

Selain itu, beliau mendakwa pelaksanaan UPOV 1991 boleh menyebabkan kenaikan harga benih dan mengukuhkan monopoli syarikat korporat besar kerana sistem tersebut direka bagi memberikan hak monopoli eksklusif kepada pemilik varieti baharu untuk tempoh antara 20 hingga 25 tahun.

“Kami menuntut Parlimen Malaysia menghentikan serta-merta sebarang pembentangan draf pindaan Akta 634 dan mengekalkan sistem sui generis sedia ada.

“Sistem ini terbukti seimbang dalam melindungi pelaburan pembiak baka komersial, di samping memelihara maruah dan hak tradisi petani kecil di Malaysia,” dakwanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum dan petisyen berkenaan kepada beberapa Ahli Parlimen di hadapan pintu utama Bangunan Parlimen pada Rabu.

Antara Ahli Parlimen yang menerima memorandum tersebut ialah Tan Kar Hing (Gopeng), Manndzri Nasib (Tenggara), Idris Ahmad (Bagan Serai), Ahmad Yahaya (Pokok Sena), Shahidan Kassim (Arau) dan Takiyuddin Hassan (Kota Bharu).

Pada Januari lalu, FKMM bersama kira-kira 200 individu berhimpun di hadapan Bangunan Parlimen bagi mendesak kerajaan membatalkan penyertaan Malaysia dalam Konvensyen UPOV 1991.

Perhimpunan itu diadakan untuk menyerahkan dua memorandum yang menuntut pembelaan terhadap hak petani kecil, yang didakwa akan terjejas sekiranya pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 diteruskan.

Mereka turut mendakwa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyerahkan draf pindaan akta berkenaan kepada Sekretariat UPOV di Geneva pada September tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, sebelum ini menegaskan kerajaan tidak pernah dan tidak akan menyerahkan kedaulatan negara kepada mana-mana pihak luar dalam isu pindaan undang-undang berkaitan benih tumbuhan.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa Malaysia tunduk kepada pengaruh asing, sambil menegaskan keputusan muktamad mengenai pindaan Akta 634 kekal berada di tangan kerajaan serta Parlimen Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement