PUTRAJAYA: Usaha dan langkah proaktif untuk mengeluarkan negara dari 'middle income trap' (perangkap pendapatan sederhana) akan menjadi fokus utama Kementerian Ekonomi, kata Menterinya Rafizi Ramli.

Selain itu, katanya, beliau juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi bagi negeri kurang membangun, termasuk inisiatif membantu golongan miskin tegar, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Berdasarkan taklimat awal yang diberikan kepadanya selaku menteri yang baharu dilantik, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau melihat penjawat awam sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan kesemua agenda sedia ada dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Apa yang perlu dititikberatkan ketika ini ialah, tindakan dan pemantauan menyeluruh dari kepimpinan atasan, sehinggalah ke peringkat bawahan, untuk memastikan apa jua yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.

“Mesej perlu disampaikan dengan berkesan, untuk memastikan semua pihak berada di landasan yang tepat. 

"Kemudian, kita akan mencapai momentum yang diperlukan untuk membina semula ekonomi negara. Kerana, ketika ini terlampau banyak ‘politicking',” katanya lagi, pada sidang media pertama sebagai Menteri Ekonomi, di sini, hari ini.

Rafizi berkata, beliau juga melihat kesinambungan yang baik dari segi tumpuan untuk industri berkaitan, atau kegiatan ekonomi yang boleh melonjakkan negara kepada status berpendapatan tinggi.

Ditanya sekiranya beliau akan membuat perubahan ketara kepada RMK12 yang dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini, Rafizi berkata, masih terlalu awal untuk mengulas perkara itu.

“Masih terlalu awal untuk bercakap tentang apa saja polisi sekarang. Ini baru jam pertama saya (sebagai menteri).

"Biar kita teliti dahulu semua aspek berkaitan kepimpinan, kementerian, sebelum diputuskan di peringkat Kabinet.

“Kami baru membuat penelitian (tentang Perbelanjaan Pembangunan) di peringkat makro, jadi terlalu awal untuk bercakap secara terperinci.

"Kerajaan akan membentangkan bajet emolumen dalam persidangan (Parlimen) seterusnya dan Bajet penuh untuk 2023 dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi,” katanya lagi.

Rafizi berkata, selepas mendengar taklimat dari Unit Pengurusan Ekonomi (EPU), beliau merumuskan situasi ekonomi sekarang tidak jauh berbeza dengan apa yang beliau dapati sewaktu belum menjadi sebahagian kerajaan.

Tambahnya, selepas mendapat taklimat yang lebih terperinci, beliau mungkin akan membuat sedikit perubahan terhadap pendekatan kepada polisi serta projek-projek kerajaan sedia ada, tetapi ia mungkin tidak begitu ketara.