MALAYSIA
FOMCA sokong struktur tarif baharu elektrik

Saravanan berkata, tarif baharu yang akan berkuat kuasa 1 Julai 2025 hingga 31 Dis 2027 di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), mencerminkan sistem penetapan harga tenaga yang lebih adil dan telus. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong penuh pelaksanaan struktur tarif baharu elektrik di bawah Tempoh Kawal Selia Ke-4 (RP4), yang disifatkan sebagai langkah tepat pada masanya, progresif, dan menguntungkan isi rumah di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Dr. T. Saravanan berkata, tarif baharu yang akan berkuat kuasa 1 Julai 2025 hingga 31 Dis 2027 di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), mencerminkan sistem penetapan harga tenaga yang lebih adil dan telus.
"Inisiatif ini hadir pada waktu yang kritikal, apabila banyak isi rumah sedang berdepan tekanan kewangan akibat inflasi dan kenaikan kos sara hidup," katanya kepada Bernama.
Saravanan berkata, struktur tarif yang disemak semula itu, mengurangkan kadar tarif asas purata daripada 45.62 sen/kWj kepada 45.40 sen/kWj, yang menyumbang kepada pengurangan kos elektrik purata keseluruhan sebanyak kira-kira 19 peratus berbanding tempoh kawal selia sebelumnya.Beliau berkata, walaupun penurunan kadar itu kelihatan kecil, ia disokong oleh pembaharuan struktur yang memberikan perlindungan lebih besar kepada pengguna domestik, khususnya dalam kalangan kumpulan pendapatan B40 dan M40.
Saravanan berkata, pengenalan "Insentif Cekap Tenaga" membolehkan isi rumah yang menggunakan 1,000 kWj atau kurang setiap bulan, mengelak daripada sebarang kenaikan tarif, sekali gus memberi ganjaran kepada pengguna yang cekap tenaga dan menggalakkan penggunaan secara bertanggungjawab.
"Struktur yang dikemas kini ini turut merangkumi sistem bil yang lebih terperinci, termasuk pecahan bagi penjanaan tenaga, penggunaan rangkaian, caj kapasiti dan kos runcit.
"Tahap ketelusan ini memberi kuasa kepada pengguna untuk lebih memahami bil mereka dan memberikan kejelasan mengenai bagaimana kos tersebut ditentukan, sekali gus meningkatkan kepercayaan dan membolehkan pengguna membuat keputusan penggunaan yang lebih bijak," katanya.
Skim Masa Penggunaan (TOU) yang diperluas kini merangkumi hujung minggu dan waktu luar puncak hari bekerja dari jam 10 malam hingga 2 petang keesokan harinya, membolehkan pengguna menikmati lebih penjimatan dengan mengalihkan aktiviti penggunaan tenaga tinggi ke waktu-waktu tersebut.
FOMCA turut mengalu-alukan perlindungan berterusan untuk kumpulan rentan, termasuk rebat bulanan RM40 untuk isi rumah miskin tegar di bawah program e-Kasih, serta tarif khas untuk sektor pertanian, air, sanitasi dan perkhidmatan rel.
Rebat 10 peratus untuk institusi pendidikan, rumah ibadat dan rumah kebajikan berdaftar, juga akan dikekalkan.
Saravanan berkata, penggantian mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) dengan sistem baru Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA) akan meningkatkan kepekaan harga terhadap pergerakan harga bahan api global dan kadar pertukaran mata wang, namun beliau menegaskan perlunya komunikasi yang jelas terhadap sebarang perubahan harga yang berlaku akibat pelaksanaan sistem ini.
Beliau turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) agar mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kenaikan harga barang keperluan yang tidak munasabah yang mungkin tercetus akibat pelarasan tarif elektrik ini.
"FOMCA akan terus memantau pelaksanaan ini dengan rapi dan akan terus memperjuangkan keterlibatan pengguna, pendidikan serta penguatkuasaan kawal selia yang berterusan bagi memaksimumkan impak pembaharuan dasar ini," katanya.
Suruhanjaya Tenaga pada Jumaat mengumumkan mulai 1 Julai 2025, lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan menikmati kadar tarif elektrik yang lebih adil dan progresif di bawah jadual tarif baharu yang diluluskan bagi Tempoh Kawal Selia Keempat (2-25-2027).
Perubahan ini melibatkan semakan kadar tarif asas purata, struktur tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api, yang dilaksanakan di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami