Ranger Wildtrak baharu yang merupakan varian terbaik dalam rangkaian model Ford Ranger sudah melakukan debut di peringkat globalnya. Ia menampilkan pelbagai teknologi pintar serta penampilan berani, seterusnya menjadi salah sebuah trak pikap paling lasak dan berkemampuan tinggi.
Rekaan hadapannya disertakan dengan lampu utama jenis projektor, gril berbentuk trapezoid dan corong tampil dengan kemasan berwarna kelabu metalik gelap. Warna sama turut dikenakan pada cermin sisi, hendal pintu, corong udara sisi, bed rail dan lampu belakang untuk memberikannya penampilan lebih sporty.
“Tona warna pada Wildtrak membantu menyerlahkan seni bina fascia dan membuatkan reka bentuk yang sudah sedia mantap menjadi semakin mantap. Jadi ia dapat dikenali dengan serta-merta apabila berada di atas jalan raya,” kata Pengurus Reka Bentuk Luaran untuk Ranger Wildtrak, Dave Dewitt.
Pada masa yang sama memberinya penampilan lebih teknikal dan halus. Jentera ini menggunakan rim aloi bersaiz 18 inci yang dihasilkan secara eksklusif. Lengkap dengan grafik Wildtrak yang mantap, reka bentuk baharu ini menyerlahkan keberanian untuk menyahut apa jua cabaran. Malah, warna oren yang menjadi warna signatur Wildtrak telah diubah untuk membuatkannya lebih menonjol.
Kabin
Warna oren digunakan untuk menambah rasa sporty kepada ruang yang moden. Ruang dalam juga menempatkan dua kluster instrumen TFT, skrin sentuh bersaiz lapan inci dan corong penyaman udara.
Wildtrak baharu juga didatangkan dengan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik beserta elemen-elemen grafik dan jahitan benang berwarna oren yang menggabungkan aspek sporty, tahan lasak dan mantap.
Teknologi
Sistem ketersambungan di dalam kereta generasi terkini Ford, SYNC 2 menawarkan pemandu cara yang lebih selamat dan pintar untuk terus berhubung. Arahan suara daripada pemandu kini boleh diberi dengan frasa lebih santai dan tidak lagi terikat dengan had sistem.
Contohnya, arahan boleh diberi seperti, “suhu 20 darjah” atau “mainkan lagu Dayang Nurfaizah”; ini memberi kawalan yang lebih mudah untuk pengguna berbanding sebelum ini.
Antara sistem lain yang ada pada Ford Ranger Wildtrak adalah:
Lane Keeping Alert dan Lane Keeping Aid | Sekiranya kamera hadapan mengesan kenderaan keluar dari laluannya, sistem akan memberi amaran kepada pemandu melalui getaran pada stereng. Jika tiada tindakan diambil untuk membetulkan keadaan, sistem Lane Keeping Aid akan mengenakan kuasa tork pada stereng untuk membawa kenderaan berada di laluan yang betul. |
Adaptive Cruise Control | Menggunakan alat-alat pengesan radar untuk mengekalkan tahap kelajuan sedia ada dan jarak dengan kenderaan di hadapan yang telah ditetapkan sebelum ini. Apabila sistem ini mengesan ada sebuah kenderaan di hadapannya, ia akan memperlahankan trak secara automatik untuk mengekalkan jarak yang selamat. Trak akan kembali memecut untuk mencapai kelajuan yang telah ditetapkan oleh pemandu apabila jalan di hadapan kembali selamat. |
Forward Alert | Bersama sistem Adaptive Cruise Control untuk memberi amaran visual dan bunyi kepada pemandu apabila jarak dengan kenderaan hadapan tidak lagi selamat. Sistem ini juga akan memastikan prestasi brek berada di tahap yang optimum |
Tire Pressure Monitoring System | Memberitahu pemandu jika tekanan tayar terlalu rendah |
Electronic Stability Control | Sistem kawalan olengan dan pengurangan goyangan treler, ia membantu memastikan kenderaan sentiasa berada dalam kawalan biarpun pada situasi yang buruk |
Driver Impairment Monitor | Mengesan pemandu yang mengantuk. Sekiranya sistem ini mendapati kenderaan keluar dari laluan dan stereng dibetulkan secara tiba-tiba, ia akan memberi amaran kepada pemandu melalui bunyi yang semakin kuat |
Emergency Assistance | (Hanya dalam pasaran tertentu) Menggunakan telefon yang telah dipadankan dengan Bluetooth untuk menghubungi penyedia perkhidmatan kecemasan tempatan sekiranya berlaku kemalangan yang serius. Sistem ini akan menyampaikan maklumat dan lokasi kemalangan, sebelum menyambungkan talian untuk membolehkan anda bercakap secara langsung dengan pasukan kecemasan |
Prestasi
Wildtrak baharu dipacu oleh enjin diesel generasi terkini 3.2 liter Duratorq lima silinder TDCi Ford yang menjana kuasa mencecah 197hp dan tork setinggi 470Nm. Penjimatan bahan api telah ditingkatkan sebanyak 18% melalui kitaran semula gas ekzos yang ditambah baik.
Sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPAS) yang digunakan turut membantu memberi kecekapan ini.
Transmisi pula adalah jenis automatik enam kelajuan.
Kelasakan Ford Ranger Wildtrak dibuktikan dengam kemampuan untuk mengharung air sehingga 800mm dan kelegaan tanah setinggi 230mm.