ISTANBUL: “Saya rasa ini satu panggilan yang ditentukan oleh Allah.”

Demikian kata Ketua Misi Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA), Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang merupakan salah seorang peserta dari Malaysia bagi misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla.

Katanya, beliau bersyukur kerana permohonan menyertai misi kali ini diluluskan biarpun hanya sempat mengisi borang penyertaan di saat akhir sebelum permohonan ditutup.

“Bila saya dapat tahu tentang perkara (misi) ini, saya spontan sahaja isi borang pada hari terakhir dan dua hari lepas tu dapat jawapan diterima.

“Jadi saya rasa kalau saya boleh sertai pengembaraan (ke Kutub Utara), kenapa tidak kali ini gunakan tenaga saya dan gunakan kepakaran yang saya ada untuk misi yang sangat-sangat murni ini.

“Saya rasa ini satu pengalaman yang sangat luar biasa berbanding dengan pengembaraan yang lain dan saya tidak menyesal langsung malah saya teruja dan saya rasa ini satu panggilan yang ditentukan oleh Allah SWT,” katanya.

Tambah Ikon Ratu Kutub Utara itu, biarpun memiliki banyak pengalaman melakukan ekspedisi dan pengembaraan ke kutub utara, beliau sentiasa mengingatkan dirinya untuk tidak sesekali mengambil mudah dan memandang ringan terhadap segala kemungkinan yang mungkin berlaku dalam sesuatu misi yang disertainya.

Tambahan dengan kerakusan rejim Zionis yang terus-menerus menghentam dan menindas masyarakat di Gaza, dia sentiasa bersedia berdepan sebarang kemungkinan sepanjang misi berlangsung kelak.

“Seperti biasa semua pengembaraan, semua pelayaran, semua misi kita jangan letak benda yang senang always expect the worst.

“Jadi kita dah buat persiapan mental secukupnya supaya kita tidak berasa selesa, jadi pada saya, saya tahu perkara ini susah. Saya tahu macam mana Israel, kita dah baca banyak di laman media sosial seperti di Instagram, Tik Tok dan banyak lagi.

“Walaupun berkemungkinan berdepan banyak cabaran, tapi bukanlah bermakna menyerah begitu saja semestinya kita rapatkan diri dengan ilmuwan dan selalu bertanya pada orang pernah pergi kerana ini merupakan satu pengalaman baharu buat saya,” ujarnya lagi.

Dr Sharifah Mazlina merupakan salah seorang peserta delegasi Malaysia yang menyertai misi yang dijadual memulakan pelayaran pada 26 April 2024 bersamaan hari Jumaat.

Antara delegasi Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla to Gaza termasuk Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Dr Fauziah Mohd Hasan dan Norsham Abu Bakar.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan misi yang dijadualkan memulakan pelayaran pada 24 April 2024 (Rabu) sekali lagi ditangguhkan ke 26 April 2024.

Menurut Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Ann Wright, ketika ini lokasi kapal memulakan pelayaran akan ditukarkan ke satu lokasi yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perkara itu diumumkan Wright menerusi taklimat harian kepada semua delegasi terlibat di Istanbul, Turki pada petang Selasa.