MARANG: Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi penugasan di kawasan rusuhan pada masa akan datang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata FRU telah diberi kelulusan untuk mendapatkan 10 ekor anjing K9 yang dikenali sebagai "anjing rusuhan" bertujuan mengawal ketenteraman sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Beliau berkata perbincangan juga telah dijalankan bersama Komander FRU SAC Mohd Said Ibrahim untuk penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) dan menentukan skop tugasan anjing rusuhan dalam menjaga keamanan.

"Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman dalam satu mesyuarat semalam (Khamis) telah memaklumkan bahawa FRU telah diluluskan untuk 10 ekor anjing K9 iaitu anjing rusuhan.

"Memang kita perlukan anjing dalam penugasan rusuhan dan jaga keamanan kerana naluri manusia apabila dia tengok anjing yang garang ini akan timbul rasa takut. Kalau dia nak buat benda yang bukan-bukan pun akan tersentak dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian penutup kursus asas FRU dan kursus asas menunggang kuda siri 1/2023 serta majlis penyematan Shoulder Flash Baru FRU di Kompleks Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 6, Wakaf Tapai di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa.

Dalam pada itu, Hazani menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa kewujudan FRU sudah tidak relevan pada masa sekarang.

Menurut beliau, selain mengawal serta meleraikan rusuhan di tempat perhimpunan, peranan FRU juga telah diperluas kepada membantu mangsa banjir dan kawalan di sempadan menerusi unit berkuda.

"Sejak 2021, FRU telah mempelbagaikan peranan dengan fokus kepada bantuan pascabanjir iaitu membersihkan pelbagai premis termasuk rumah, sekolah dan rumah ibadat tanpa mengira kaum dan agama.

"Malah unit berkuda kita juga telah digerakkan ke sempadan di utara tanah air dan Kelantan bagi rondaan keselamatan dan juga mencari maklumat berkaitan penyeludupan," katanya.

-- BERNAMA