KUALA LUMPUR: Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus masih membisu mengenai pelantikan semula beliau sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Kontrak beliau sebagai gabenor tamat tahun ini.

"Pelantikan gabenor ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong. Jadi, bagi saya, saya fokus untuk menunaikan 'amanah' yang diberikan kepada saya untuk memastikan BNM terus melaksanakan mandatnya.

"Ia mengisi sebahagian besar masa saya, jikapun tidak semua" katanya pada sidang media mengenai statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2022 yang diumumkan hari ini.

Beliau dilantik sebagai gabenor bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhammad Ibrahim yang meletak jawatan pada 15 Jun 2018.

Nor Shamsiah merupakan timbalan gabenor BNM dari 2010 hingga 2016. - BERNAMA