Skip to main content

Malaysia

Gabungan BN-PN mampu bentuk hala tuju Petronas - Zaid Ibrahim

 Zaid, Petronas
Zaid berkata sebuah kerajaan pimpinan Melayu yang stabil akan mempunyai ruang lebih besar untuk melaksanakan pembaharuan nasional serta memperjuangkan keadilan sosioekonomi rakyat. - Gambar fail/Facebook Zaid Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu memastikan Petronas terus berkembang dan kekal sebagai institusi strategik negara sekiranya kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan Persekutuan, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) itu menjelaskan, sebuah kerajaan pimpinan Melayu yang stabil akan mempunyai ruang lebih besar untuk melaksanakan pembaharuan nasional serta memperjuangkan keadilan sosioekonomi rakyat.

"Kita boleh memastikan Petronas terus berdaya maju dan tidak dihalang dalam pertumbuhannya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.

Menurut Zaid, kerjasama BN dan PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membawa makna yang lebih besar daripada sekadar persaingan politik di sebuah negeri.

Beliau menyifatkan penyatuan UMNO dan Pas sebagai detik bersejarah yang berpotensi menjadi asas kepada pembentukan semula dasar negara.

"Pilihan raya Negeri Sembilan bukan sekadar mengenai pertukaran menteri besar, tetapi tentang membentuk semula Malaysia menjadi tempat yang lebih baik,” jelasnya.

Selain memastikan kelangsungan Petronas, Zaid berkata kerajaan Persekutuan yang stabil juga boleh memberi tumpuan kepada isu yang menurutnya telah lama memerlukan perhatian, termasuk kedudukan tanah rizab Melayu.

“Kerajaan pimpinan Melayu yang kukuh akan membolehkan semakan besar-besaran terhadap tanah rizab Melayu diterajui kerajaan persekutuan.

“Kawasan mana yang telah dinyahwartakan dan kawasan mana yang perlu kita ganti serta bangunkan?” soalnya.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Melayu yang stabil akan membolehkan semakan menyeluruh dilakukan terhadap tanah rizab Melayu, termasuk mengenal pasti kawasan yang telah dinyahwartakan serta tanah yang perlu diganti dan dibangunkan.

Zaid turut mencadangkan penubuhan dana khas bagi membangunkan sebahagian daripada 4.9 juta hektar tanah rizab Melayu di negara ini, selain menaikkan bayaran pajakan tahunan kepada Kedah kepada RM250 juta berbanding RM10 juta ketika ini.

"Kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk keadilan sosioekonomi rakyat seperti yang dituntut Islam,” tambahnya.

Walaupun tidak menyebut Petroleum Sarawak Berhad (Petros) atau pertikaian melibatkan Sarawak secara khusus, kenyataan beliau mengenai Petronas dibuat ketika peranan syarikat minyak negara itu terus menjadi antara isu utama dalam perbahasan mengenai hak negeri, hasil petroleum dan masa depan sektor tenaga negara.

Sarawak ketika ini menuntut peranan yang lebih besar dalam pengurusan gas menerusi Petros, termasuk dalam pengagregatan dan pengedaran gas di negeri itu.

Pertikaian berkenaan turut melibatkan Akta Pembangunan Petroleum 1974, yang menjadi asas kuasa Petronas terhadap sumber petroleum negara, selain Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 milik Sarawak.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak mencapai beberapa persefahaman bagi memperluaskan penyertaan negeri dalam sektor gas, sambil mengekalkan peranan Petronas dalam rantaian industri petroleum dan eksport LNG negara.

Zaid sebelum ini turut berpandangan bahawa sebarang perbezaan berkaitan sektor petroleum perlu diselesaikan menerusi rundingan tanpa menjejaskan operasi institusi strategik negara.

Pada November 2024, beliau membidas pandangan bahawa Petronas boleh dihalang daripada beroperasi di Sarawak sekiranya Petros tidak diberikan peranan dalam perniagaan pengagregatan gas.

"Berundinglah dengan kami tanpa ugutan,” tegasnya ketika itu.

Beliau berkata kepentingan Sarawak wajar diberi perhatian, namun sebarang penyelesaian perlu mengambil kira kedudukan Petronas sebagai syarikat yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi dan hasil negara.

Must Watch Video

Advertisement