Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Aminuddin wajar dikekalkan, rekod pentadbiran buktikan kemampuan - Anwar

Anwar Ibrahim, PH, PRN
Anwar berucap pada Program Jelajah Kekal HARAPAN Negeri Sembilan di Pusat Bandar Senawang Taipan 2 hari ini. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dengan menyifatkan beliau sebagai calon terbaik berdasarkan rekod pentadbiran, keikhlasan dan peribadinya.

Berucap pada program Jelajah Kekal Harapan sempena Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16), Anwar berkata beliau tidak akan teragak-agak menyokong pertukaran kepimpinan sekiranya Aminuddin gagal menjalankan amanah dengan baik.

Menurutnya, kelemahan seperti gagal menyelesaikan masalah rakyat, tidak turun padang, tidak membawa pembaharuan atau gagal menarik pelaburan merupakan antara faktor yang boleh dipertimbangkan untuk menukar seorang pemimpin.

“Kalau dibangkitkan kelemahan-kelemahan ketara, tak reti buat kerja, tak turun padang, tak peduli masalah rakyat, tak ada ikhtiar baharu, pelaburan tak berkembang dan tidak dapat menarik pelaburan, kita boleh terima. Kita boleh tukar.

“Saya ada pengaruh dalam Pakatan Harapan untuk mengatakan cukup Aminuddin, terima kasih, bagi pada orang lain. Tapi saya tengok dari segi track record, dari segi keikhlasan, dari segi akhlak dan peribadi, ini calon kita yang terbaik,” katanya semasa berucap dalam Kempen Jelajah Harapan, di sini, pada Rabu.

Anwar berkata sepanjang pemerhatiannya, Aminuddin mempunyai rekod yang baik dalam aspek pembangunan negeri termasuk pelaksanaan program kebajikan rakyat, pembangunan ekonomi serta usaha menarik pelaburan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau berkata pelaburan merupakan elemen penting dalam pembangunan negeri kerana mampu menyediakan pekerjaan kepada golongan muda.

“Yang nak dengki sebab apa? Yang nak marah sebab apa? Tak betul! Hah. Nak dari segi kegiatan Islam, dari segi kegiatan program-program rakyat, saudara lebih tahu, orang negeri lebih faham daripada saya.

“Dan tentunya saya hubungan akrab dengan dia. Sebab itu saya katakan, tengok rekod pembinaan masjid baru. Paling banyaknya dalam tiga tahun yang lalu yang masjid-masjid baru.

“Dan bukanlah masjid saja pertanda dia. Bagi saya program rakyat yang penting, ya. Banyak lagi, ekonomi, sosial. Dan pelaburan itu penting sebab kalau pelaburan tak ada, orang tak ada kerja. Anak-anak muda kita tak ada kerja. Jadi sebab itu saya nak jelaskan yang ini betul-betul,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh naratif yang dimainkan pihak tertentu berhubung isu “kerajaan Melayu”, dengan menyifatkan hujah tersebut perlu dinilai berdasarkan rekod dan prestasi parti-parti yang terlibat.

Beliau berkata kerjasama PH melibatkan DAP harus dilihat secara objektif berdasarkan rekod pentadbiran dan prinsip parti itu, bukannya semata-mata persepsi yang dibina oleh pihak tertentu.
 

Must Watch Video

Advertisement