Skip to main content

Malaysia

Petros mula pengeluaran minyak darat pertama Sarawak selepas lebih 50 tahun

Abang Johari di Sibu
Abang Johari ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Hari Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang malam ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SIBU: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) telah memulakan pengeluaran minyak pertamanya di medan Adong Kechil West (AKW) berhampiran Marudi, sekali gus menandakan kembalinya pengeluaran minyak darat di Sarawak selepas lebih 50 tahun.

Beliau berkata medan itu mula mengeluarkan kira-kira 800 tong minyak sehari atau bersamaan 24,000 tong sebulan, yang disifatkannya sebagai detik bersejarah terhadap usaha Sarawak memperkukuh kedudukannya dalam industri minyak dan gas.

"Sempena Hari Sarawak ini, saya ingin mengumumkan sebagai hadiah kepada rakyat Sarawak bahawa Petros, syarikat minyak dan gas milik Sarawak, telah memulakan pengeluaran minyak pertamanya awal minggu ini di medan Adong Kechil West.

"Dengan pengeluaran baharu ini, selepas lebih 50 tahun sejak pengeluaran minyak darat yang terakhir, Sarawak kini berada pada landasan tepat untuk mengembangkan industri hiliran khususnya pengeluaran amonia dan hidrogen biru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Hari Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang di sini malam ini.

Abang Johari berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan jurutera tempatan bersama tenaga kerja Sarawak dalam meneroka dan mengurus sumber minyak serta gas negeri.

Menurut beliau, kejayaan itu menunjukkan Sarawak mempunyai kemampuan untuk menjadi pemain utama dalam industri minyak dan gas termasuk pembangunan produk hiliran berasaskan gas metana.

"Inilah hadiah besar kepada Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak tahun ini. Kini Sarawak merupakan pemain besar dalam industri minyak dan gas yang diusahakan oleh anak Sarawak sendiri," katanya.

Beliau berkata pengeluaran minyak oleh Petros sejajar dengan strategi Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan lebih banyak nilai tambah daripada sumber asli negeri berbanding hanya mengeksport bahan mentah.

Katanya, pendekatan itu turut disokong oleh Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian nilai gas asli, termasuk industri petrokimia, metanol, amonia, hidrogen, baja dan bahan kimia bernilai tinggi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Sarawak.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement