MALAYSIA
Gabungan ilmu hafazan, al-Quran, TVET buka ruang lebih luas - Ahmad Zahid

Gabungan ilmu hafazan al-Quran dengan kemahiran teknikal membuka ruang lebih luas kepada huffaz menyumbang secara aktif kepada kemajuan agama, bangsa dan negara, kata Ahmad Zahid. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Gabungan ilmu hafazan al-Quran dengan kemahiran teknikal dan vokasional tidak hanya menjadikan para huffaz lebih versatil, malah membuka ruang lebih luas untuk mereka menyumbang secara aktif kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Forum Perdana Ehwal Islam dengan tajuk 'Membangun Generasi Huffaz Berkemahiran' yang berlangsung malam tadi sempena sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 telah membuka dimensi baharu tentang masa depan generasi al-Quran itu.
"Saya senada dengan pandangan para panel yang menekankan keperluan menjadikan TVET sebagai fardu kifayah kerana ia merupakan satu tuntutan masyarakat dalam membangunkan ummah pada masa kini. Malah, saya juga bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan bahawa "agama tidak pernah memisahkan antara kilang, bengkel dan masjid".
"Apa yang lebih membanggakan, saya melihat majoriti yang hadir malam tadi adalah daripada golongan anak muda. Ini membuktikan bahawa minat terhadap pendekatan pendidikan yang seimbang semakin subur dalam kalangan generasi baharu," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, pihaknya akan terus memperkasakan inisiatif itu agar dapat melahirkan lebih ramai huffaz berkemahiran yang bukan sahaja celik wahyu, tetapi juga cekap mengurus realiti.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami