Pakatan Rakyat perlu memperkemaskan struktur gabungan parti-parti pembangkang dan didaftarkan sebagai sebuah parti.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata setiap pimpinan dan anggota parti di dalam blok pembangkang perlu mendokong kerangka perjuangan bersama.

"Struktur PR perlu diperkemaskan dan didaftarkan. Pimpinan parti dalam PR harus pastikan program dan dasar bersama diperkemas dan dimuafakati secara kolektif," tegas Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR ketika dihubungi Astro AWANI.

Azmin mengulas kenyataan Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai yang menyeru Pakatan Rakyat mengutamakan matlamat politik yang menyeluruh berbanding matlamat parti masing-masing.

Tambahnya, PR sememangnya bersedia untuk didaftarkan sebagai sebuah parti dengan logo yang satu.

"Kita sekarang akan terus mendesak Kerajaan Persekutuan (meluluskan permohonan PR mendaftar sebagai sebuah parti) untuk melihat ini suatu usaha untuk menyuburkan demokrasi dalam negara," ujar Azmin.

Ramai penganalisis politik sebelum ini mengutarakan pendapat bahawa Pakatan Rakyat perlu mula memikirkan kerangka perjuangan baharu dan segar pasca kepimpinan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutama dalam membina citra dan keampuhan baharu sebagai sebuah alternatif yang lebih diyakini masyarakat.