Gagal lapor rasuah, bekas pegawai bank didenda RM25,000

Seorang bekas pegawai bank hari ini didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan pilihan gagal melaporkan rasuah berkaitan penyediaan dokumen perjanjian pembiayaan antara 2020 hingga 2021. - Foto hiasan
SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai bank hari ini didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan pilihan gagal melaporkan rasuah berkaitan penyediaan dokumen perjanjian pembiayaan antara 2020 hingga 2021.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin turut memerintahkan Abdul Rahman Yusof, 44, dipenjara 30 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM6,658 yang dimasukkan dalam akaun bank miliknya melalui akaun bank milik sebuah firma guaman.
Suapan itu diberikan sebagai upah mencadangkan firma guaman berkenaan bagi penyediaan 11 dokumen penjanjian pembiayaan perumahan dianggarkan bernilai RM1,978,088 di sebuah cawangan bank di sekitar Shah Alam antara 11 Jun 2020 hingga 21 Okt 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan kepada pegawai SPRM atau polis berhubung penerimaan wang suapan itu.
Abdul Rahman juga berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Abdul Rahman yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung lima anak dan kedudukan kewangannya kini goyah kerana sudah setahun tidak bekerja manakala Timbalan Pendakwa Raya SPRM Natrah Fareha Rahmat memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Di mahkamah sama, seorang lagi pegawai bank iaitu Mohd Ariff Firdaus Bakri, 38, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai sebanyak RM2,469 daripada sebuah firma guaman di cawangan bank di Shah Alam pada 12 Nov 2020 dan 20 Ogos 2021.
Suapan diberikan sebagai upah mencadangkan firma guaman itu bagi penyediaan dua pinjaman pembiayaan berjumlah RM822,834 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Mohd Ariff Firdaus, yang diwakili peguam R.Palaya, turut berdepan dua pertuduhan pilihan tidak melaporkan pemberian suapan itu pada tarikh dan tempat sama.
Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM10,000 beserta syarat menyerahkan pasport, tidak mengganggu saksi pendakwaan, melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Jan 2026.
Seorang lagi pegawai bank Ahmad Fathullah Idris, 38, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM1,325 menerusi akaun banknya daripada sebuah firma guaman sebagai upah mencadangkan firma guaman itu bagi penyediaan satu pinjaman pembiayaan berjumlah RM161,377 di sebuah bank di Shah Alam pada 7 Jan 2021.
Dia turut berdepan satu pertuduhan pilihan tidak melaporkan pemberian suapan berkenaan pada tempat dan tarikh yang sama.
Sementara itu, Sameer Izzat Malik Fesal, 37, mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas empat pertuduhan menerima suapan wang tunai RM5,149 menerusi akaun bank daripada sebuah firma guaman di sebuah bank di Shah Alam antara 19 Julai 2022 hingga 3 Okt 2022 sebagai upah mencadangkan syarikat itu bagi menyediakan lima pinjaman pembiayaan berjumlah RM1,292,556.
Bekas pegawai bank itu turut berdepan empat pertuduhan pilihan tidak melaporkan pemberian suapan tersebut pada tempat dan tarikh yang sama.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan Ahmad Fathullah dan Sameer Izzat masing-masing diikat jamin sebanyak RM5,000 dan RM13,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai, dan menetapkan 13 Jan 2026 sebagai sebutan semula kes.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM M. Esther Jecyntha manakala Ahmad Fathullah diwakili peguam Mohd Saiful Hadi dan Sameer Izzat diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


