PUTRAJAYA: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk memindahkan kes rasuah beliau yang membabitkan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang ke Mahkamah Tinggi.

Seorang peguam Lim iaitu Haijan Omar, ketika dihubungi, berkata notis rayuan telah difailkan pada Jumaat lepas.

Beliau berkata mereka akan memfailkan petisyen rayuan selepas menerima rekod rayuan.

Pada 16 Nov lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Nor Bee Ariffin, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan Lim untuk memindahkan kes rasuahnya yang sedang berlangsung dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Ketika mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Che Mohd Ruzima yang mengumumkan keputusan panel itu berkata pendekatan Lim mengguna pakai Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah, terutama bagi membolehkan perbicaraan kesnya didengar oleh Mahkamah Tinggi, sebagai platform untuk membawa rayuannya ke Mahkamah Persekutuan tidak boleh dibenarkan.

Bagi kes yang didengar oleh Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan manakala kes yang bermula di Mahkamah Tinggi akan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

Pada 12 Julai lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Lim untuk memindahkan kesnya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan, berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk memperoleh suapan RM3.3 juta sebagai upah bagi membantu pemilik Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar di George Town antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta rasuah 10 peratus daripada keuntungan syarikat itu sebagai upah membantu mendapatkan projek tersebut dan beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu juga berdepan dua lagi pertuduhan iaitu menyebabkan dua bidang tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan kes itu dijadual disambung semula pada 29 Nov ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

-- BERNAMA