IPOH: Seekor gajah yang mati dilanggar kenderaan dalam kejadian di Kilometer 50, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, malam tadi, adalah gajah betina yang dianggarkan berusia tujuh tahun.

Pengarah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Yusoff Shariff berkata, berat gajah itu pula kira-kira 610 kilogram.

“Kita akan lupus bangkai (gajah itu),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, seekor anak gajah mati dalam kemalangan yang turut melibatkan dua buah kenderaan di JRTB Gerik-Jeli, malam tadi.

Kemalangan itu berlaku sekitar jam 8.30 malam, dikatakan ketika anak gajah terbabit mahu melintas laluan secara tiba-tiba.

Keadaan itu mengakibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail yang sedang melalui selekoh tidak sempat mengelak lalu terlanggar gajah tersebut.

Dalam masa sama, sebuah kereta Perodua Axia telah melanggar bahagian belakangan SUV berkenaan.

Insiden terbabit tular apabila rakaman berdurasi 1 minit 45 saat dikongsi di media sosial.

Menerusi video berkenaan, anak gajah terbabit mati di tempat kejadian dalam keadaan terbaring, menghalang salah satu jalan dua hala di situ.

Turut kelihatan, serpihan bertaburan di jalan raya, dipercayai milik kenderaan yang melanggar anak gajah tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, bangkai gajah itu diserahkan kepada PERHILITAN untuk tindakan selanjutnya.