KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan hari ini semua pihak perlu mematuhi Akta Kerja 1955 termasuk yang menguruskan gaji guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti). 

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata demikian menjawab isu gaji guru Pasti yang didakwa berada di bawah paras minimum.

"Pasti tidak didaftarkan di bawah KPM dan kita ada Akta Kerja 1955.

"Saya percaya bahawa akta ini harus dipatuhi oleh semua pihak untuk menjaga kepentingan pekerja masing-masing," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai sama ada KPM boleh membantu menyelesaikan isu guru-guru Pasti yang menerima gaji bawah paras minimum.

Sebelum ini, tular satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti.

Arahan siasatan tersebut turut melibatkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam kerana didakwa membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah kadar gaji minimum.

Guru-guru Pasti didakwa menerima serendah RM500 bergantung kepada yuran yang dibayar ibu bapa dan kadarnya pula berbeza mengikut kawasan, selain dilaporkan tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Pada 23 Mac lalu, Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil mencadangkan agar Pas mencari dana sendiri supaya guru Pasti sekurang-kurangnya mendapat gaji bulanan melebihi paras minimum.

Jelas beliau, Pas perlu bersikap adil terharap guru-guru berkenaan dan tidak mencipta alasan untuk menutup kepincangan yang berlaku.

Terdahulu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan tindakan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan JTKSM yang mahu menyiasat Pasti walaupun semua gurunya merupakan 'sukarelawan'.