Skip to main content

Dunia

PBB gesa Israel cegah ‘perbuatan genosid’, bangkitkan kebimbangan pembersihan etnik di Gaza

Relatives mourn during the funeral of Palestinians killed in an Israeli strike, according to medics, in Gaza City, May 17, 2026. REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Ahli keluarga meratapi jenazah rakyat Palestin yang terkorban dalam serangan Israel di Bandaraya Gaza. - Foto REUTERS

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel mengambil langkah segera untuk mencegah “perbuatan genosid” di Gaza, selain menyuarakan kebimbangan serius terhadap kemungkinan berlakunya pembersihan etnik di wilayah Palestin dan Tebing Barat.

Gesaan itu dibuat susulan laporan terbaharu Pejabat Hak Asasi Manusia PBB yang diterbitkan pada Isnin, yang menyiasat tindakan ketenteraan Israel dalam perang di Gaza sehingga Mei 2025.

Laporan tersebut menyimpulkan bahawa Israel telah melakukan “pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa” yang dalam banyak kes mungkin merupakan jenayah perang serta jenayah kekejaman lain.

Beberapa siasatan antarabangsa, termasuk oleh badan penyelidik PBB, sebelum ini turut menyimpulkan bahawa operasi ketenteraan Israel di Gaza berkemungkinan memenuhi definisi genosid berdasarkan Konvensyen 1948.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan PBB menegaskan bahawa serangan berterusan, pemusnahan sistematik kawasan kediaman serta pemindahan paksa penduduk Palestin menimbulkan kebimbangan terhadap usaha perubahan demografi secara kekal.

Keadaan ini “menimbulkan kebimbangan pembersihan etnik di Gaza dan Tebing Barat,” menurut laporan itu.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menyeru Israel supaya mencegah sebarang tindakan yang boleh diklasifikasikan sebagai genosid dan memastikan rakyat Palestin yang dipindahkan dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.

Beliau turut menggesa penamatan kehadiran Israel yang dianggap tidak sah di wilayah Palestin yang diduduki.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, hampir 73,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak konflik tercetus.

Walaupun laporan itu menyatakan Israel menyasarkan pembebasan tawanan dan kadangkala menyerang sasaran ketenteraan, banyak serangan dilihat sebagai “tidak sah” kerana menyebabkan kematian besar dalam kalangan orang awam.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB juga sebelum ini mendapati corak pelanggaran hak asasi yang konsisten, termasuk penggunaan kekerasan yang meluas, penahanan sewenang-wenangnya serta kematian dalam tahanan.

Perang di Gaza tercetus selepas serangan oleh Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang di Israel dan menyaksikan lebih 200 individu dijadikan tawanan.

Walaupun gencatan senjata yang diumumkan pada Oktober 2025 menghentikan sebahagian pertempuran, keadaan di Gaza kekal tegang dengan sekatan keselamatan ketat dan peningkatan semula serangan.

Pemerhati konflik turut memberi amaran bahawa serangan Israel di Gaza semakin meningkat sejak kebelakangan ini, selain peningkatan operasi tentera dan serangan oleh peneroka di Tebing Barat.

Selain Israel, laporan PBB turut mengkritik Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain atas pelanggaran hak asasi manusia, termasuk pembunuhan tidak sah dan pelancaran serangan tanpa panduan yang jelas terhadap sasaran.

PBB menggesa semua pihak menghentikan keganasan dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Ketua Hak Asasi PBB di wilayah Palestin, Ajith Sunghay, berkata gencatan senjata setakat ini gagal membawa kepada pertanggungjawaban bermakna terhadap pelanggaran yang berlaku.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan menghukum pesalah hanya akan mendorong berulangnya kekejaman.

“Impuniti hanya akan mendorong pengulangan. Kebanyakan kekejaman ini tidak pernah dihukum dan mangsa tidak mendapat keadilan,” katanya.

PBB sebelum ini menggambarkan situasi di wilayah Palestin sebagai “bencana ciptaan manusia”, dengan kemusnahan besar infrastruktur awam, kekurangan bantuan kemanusiaan serta kebuluran yang melanda sebahagian besar penduduk.

Dengan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, laporan terbaharu ini dilihat sebagai gesaan kuat kepada komuniti global untuk bertindak bagi menghentikan krisis kemanusiaan yang berlarutan di Gaza dan wilayah Palestin lain.
 

 

Must Watch Video