NATIONAL
Gaji minimum baharu perkukuh ekonomi pekerja berpendapatan rendah

KWSP turut memperkenalkan rangka kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) yang selaras dengan Belanjawanku, sebagai alat untuk menilai kesesuaian paras gaji dengan matlamat simpanan persaraan.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 bermula 1 Februari 2025 telah menunjukkan impak positif terhadap corak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), terutamanya dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah.
Ringkasan AI
- Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 bermula 1 Februari 2025 telah menunjukkan impak positif terhadap corak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan peningkatan kadar gaji median kepada RM2,745 pada Mac 2025.
- Data KWSP menunjukkan peningkatan bilangan majikan aktif, jumlah caruman keseluruhan, dan pendaftaran ahli baharu. Struktur tiga akaun KWSP yang diperkenalkan pada Mei 2024 membantu mengimbangi keperluan jangka pendek dan jangka panjang tanpa peningkatan pengeluaran simpanan yang ketara.
- KWSP menekankan pentingnya dasar gaji yang lebih adil dan menyeluruh untuk mengatasi ketidakseimbangan struktur gaji, serta menekankan pembangunan tenaga kerja, jaminan pekerjaan, dan peningkatan produktiviti sebagai komponen penting untuk kesejahteraan jangka panjang rakyat.
KWSP memaklumkan bahawa belum terdapat bukti peningkatan pengeluaran simpanan akibat tekanan kewangan susulan kenaikan gaji minimum dan struktur tiga akaun KWSP yang diperkenalkan pada Mei 2024 yang merangkumi Akaun Persaraan, Sejahtera dan Fleksibel untuk memberi keseimbangan antara keperluan jangka pendek dan jangka panjang.
"Sehingga Disember 2024, hanya 30 peratus ahli menggunakan kemudahan akaun fleksibel, manakala jumlah pengeluaran bulanan sejak Oktober 2024 kekal stabil sekitar RM500 juta.
“Kami menjangka momentum positif ini akan berterusan sepanjang tahun, meskipun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan penuh tentang kesan jangka panjang gaji minimum,” kata KWSP.
Dalam pada itu, KWSP turut memperkenalkan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) yang selaras dengan Belanjawanku, sebagai alat untuk menilai kesesuaian paras gaji dengan matlamat simpanan persaraan yang menyasarkan simpanan minimum sebanyak RM390,000 dikenal pasti sebagai keperluan asas bagi kehidupan selepas persaraan.
KWSP turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan struktur gaji, apabila laporan Dasar Gaji Progresif 2022 mendedahkan gaji median graduan muda hanya RM1,624 yang hampir menyamai kadar gaji minimum sekali gus mendorong KWSP menyarankan pelaksanaan dasar gaji yang lebih adil dan menyeluruh agar manfaat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan pekerja.
Malah, KWSP menekankan bahawa pembangunan tenaga kerja, jaminan pekerjaan, dan peningkatan produktiviti merupakan komponen penting untuk menjamin keseimbangan mampan antara gaji dan kos sara hidup. Inisiatif pendidikan kewangan dan latihan majikan turut dijalankan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan simpanan persaraan.
“Gaji minimum hanyalah satu komponen. Sistem yang menyeluruh perlu melibatkan perlindungan sosial, pekerjaan formal, dan kemahiran masa depan untuk memastikan kesejahteraan jangka panjang rakyat,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami