NATIONAL
Gaji minimum baharu tidak mampu tangani kos sara hidup jika struktur gaji tidak dirombak – KRI

Khazanah Research Institute (KRI) berpendapat walaupun semakan gaji minimum penting untuk merangsang pertumbuhan pendapatan golongan bawahan, pertumbuhan gaji keseluruhan masih terlalu perlahan.
KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji minimum sahaja tidak mencukupi untuk menangani jurang antara pendapatan dan kos sara hidup yang semakin tinggi walaupun memberi sedikit kelegaan kepada pekerja berpendapatan rendah.
Menurut Penolong Penyelidik di Khazanah Research Institute (KRI), Shazrul Ariff Suhaimi berkata, walaupun semakan gaji minimum penting untuk merangsang pertumbuhan pendapatan golongan bawahan, pertumbuhan gaji keseluruhan masih terlalu perlahan.
"Data KRI menunjukkan bahawa bagi separuh pekerja terbawah, peningkatan purata tahunan hanya sekitar RM56 dalam nilai sebenar antara tahun 2010 hingga 2019.
“Inflasi yang kita alami kini bukan sahaja berpunca daripada gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik seperti perang perdagangan Amerika Syarikat-China, malah turut melibatkan isu sistemik seperti inflasi makanan yang berterusan akibat perubahan corak perbelanjaan serta urbanisasi,” katanya dalam satu temu bual eksklusif.Berdasarkan unjuran semasa, inflasi Malaysia mencatatkan penurunan kepada 1.5 peratus pada Februari 2025, berbanding kemuncak 4.7 peratus pada 2021 dan 2022 dan walaupun kadar ini kelihatan terkawal, Malaysia masih terdedah kepada risiko global seperti harga komoditi tidak menentu dan ketidaktentuan pasaran kewangan.
Mengulas lanjut, Shazrul berkata, semakan gaji minimum setiap dua tahun seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang sedia ada mungkin tidak mencukupi. Sebaliknya, beliau mencadangkan semakan tahunan atau pelaksanaan mekanisme indeks automatik seperti yang diamalkan di beberapa negara Eropah.
“Negara seperti Belgium dan Perancis mengikat kadar gaji minimum kepada kadar inflasi. Ini memastikan kuasa beli pekerja tidak terus terhakis,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama, isu lain seperti kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi dan keselamatan pekerjaan juga memburukkan ketidakseimbangan. Pada suku akhir 2024, kadar pengangguran berkaitan kemahiran meningkat kepada 36%, manakala 21.8% tenaga kerja masih berada dalam sektor informal tanpa perlindungan sosial yang mencukupi.
KRI turut menyarankan tumpuan diberikan kepada pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET), termasuk pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang sedang dirintis kerajaan. Langkah ini, menurut Shazrul, boleh menghubungkan kenaikan gaji dengan peningkatan kemahiran sekaligus memberi manfaat kepada pekerja dan majikan.
“Jika kita mahu gaji minimum benar-benar berkesan, kita perlu tangani isu struktur bukan sekadar menaikkan angka,” tegas beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami