KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mengkaji beberapa mekanisme bagi memastikan penjawat awam di negeri itu menerima kebajikan kewangan yang lebih stabil dengan keadaan semasa ekonomi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berpandangan gaji yang diterima oleh penjawat awam kini masih tidak memadai.

Malah kuota penjawatan untuk negeri itu juga katanya perlu diselaraskan dengan keperluan dan aspirasi kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam termasuk di Sarawak.

“Saya berpandangan gaji kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini masih tidak memadai, saya akan cari jalan untuk menyelesaikan perkara ini, kerana kita juga mesti mempunyai kebebasan dalam pengurusan kewangan kita.

“Dari segi jawatan juga bergantung kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kuala Lumpur, kadang-kadang jawatan yang sepatutnya diwujudkan di Sarawak diberikan kepada pusat atau tidak diluluskan, maka tidak ada perubahan di peringkat negeri,” katanya semasa berucap dalam sesi townhall dihadiri lebih 700 penjawat awam seluruh negeri di sini pada Rabu.

Tambah Abang Jo, usaha tersebut bukan untuk memisahkan penjawat awam negeri daripada pentadbiran JPA namun sekadar bantuan daripada kerajaan Sarawak dalam masa yang sama berperanan dalam mengurangkan isu rasuah dalam kalangan penjawat awam negeri.

“Kes rasuah di Singapura rendah kerana gaji mereka tinggi, keinginan untuk melakukan rasuah itu wujud apabila gaji yang diterima tidak mencukupi, lebih-lebih lagi didesak dengan tugasan  yang banyak, oleh itu kerajaan negeri akan mencari cara untuk mendapatkan sumber kewangan ini.

“Kita akan usahakan agar penjawat awam tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada simpanan pencen, dan kita akan berbincang dengan penjawat awam untuk kita bentuk satu kerjasama untuk sama-sama bergerak sebagai sebuah jentera untuk menggerakkan aspirasi ini,” ujarnya lanjut.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata polisi yang dibentuk kerajaan itu adalah bersifat holistik dan tidak meminggirkan hak penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu.

”Penjawat awam juga antara mereka yang bergerak di lapangan dan mereka ini ialah golongan bijak pandai yang bertindak sebagai enjin kepada kerajaan, maka setiap maklum balas daripada mereka akan dianalisis seterusnya membentuk sebuah kerjasama penyelesaian untuk bergerak kehadapan,” terangnya.

Terdahulu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak (CNS) meminta kerajaan menimbangkan untuk memberi kenaikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada penjawat awam di Sarawak dan Sabah dalam Bajet 2023 agar selaras dengan kenaikan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) bagi penjawat awam di semenanjung yang meningkat sebanyak RM50 sejak Januari 2020.