Gaji rendah pengamal media: Pendika sedia bekerjasama dengan pihak berkaitan rangka cadangan

Amir berkata situasi itu bukan sahaja membabitkan pengamal media berstatus tetap malah turut dialami wartawan sambilan, atau stringer. - Foto BERNAMA
MELAKA: Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) sedia bekerjasama dengan kerajaan, pihak industri dan organisasi media bagi merangka cadangan lebih komprehensif untuk memastikan kebajikan pengamal media terus diperkasa termasuk menangani isu gaji rendah diterima yang diterima mereka.
Ringkasan AI
- Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) bersedia bekerjasama dengan kerajaan, pihak industri, dan organisasi media untuk merangka cadangan komprehensif memperkasa kebajikan pengamal media termasuk menangani isu gaji rendah, terutamanya bagi wartawan sambilan.
- Pendika menyeru perhatian terhadap keadaan pendapatan rendah dalam kalangan pengamal media, termasuk stringer, yang tidak selari dengan risiko dan komitmen kerja mereka, serta perlunya penambahbaikan gaji yang adil sesuai dengan sumbangan mereka kepada industri dan masyarakat.
- Presiden Pendika, Amir Mamat, menyambut baik keprihatinan Perdana Menteri terhadap nasib pengamal media yang masih menerima gaji rendah, dan berharap perubahan positif akan berlaku dalam ekosistem media Malaysia, khususnya di Melaka.
"Pendika percaya keadaan ini perlu diberi perhatian segera melalui mekanisme penambahbaikan gaji yang lebih adil, selaras dengan pengalaman serta sumbangan besar mereka kepada masyarakat dan negara," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata selain itu, aspek perlindungan sosial, peluang peningkatan kerjaya dan latihan profesional juga perlu dirangka semula bagi memastikan pengamal media dapat terus berkembang dalam industri yang semakin mencabar.
"Realiti bahawa masih ada pengamal media berada di bawah garis kemiskinan membuktikan wujudnya jurang besar antara beban tugas yang dipikul dengan imbuhan yang diterima, sedangkan mereka terus berkhidmat demi kelangsungan hidup dan tanggungjawab kepada masyarakat.
"Pendika berpandangan peranan pengamal media amat kritikal dalam memastikan rakyat menerima maklumat tepat, pantas dan sahih, justeru kebajikan mereka tidak wajar dipandang ringan," katanya.
Amir turut menyambut baik keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan kegusaran terhadap nasib pengamal media yang masih menerima gaji rendah meskipun telah berkhidmat lebih 10 tahun dalam industri berkenaan.
"Kenyataan itu menunjukkan bahawa isu kebajikan pengamal media kini mendapat perhatian tertinggi kepimpinan negara sekali gus memberi harapan kepada mereka yang telah sekian lama bergelut dengan pendapatan rendah.
"Pendika komited memperjuangkan suara dan hak pengamal media khususnya di Melaka, serta berharap perhatian yang diberikan oleh Perdana Menteri ini menjadi titik permulaan kepada perubahan positif yang lebih menyeluruh dalam ekosistem media Malaysia," katanya.
Semalam, Perdana Menteri berkata beliau memahami keluhan pengamal media yang masih menerima gaji rendah terutama di Sabah meskipun ramai dalam kalangan mereka telah berkhidmat lebih sedekad.
Justeru, beliau meminta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyediakan laporan menyeluruh mengenai keadaan gaji wartawan, khususnya di Sabah, dan mencadangkan langkah penyelesaian terbaik termasuk kemungkinan menyalurkan insentif kepada syarikat media bagi tujuan menaikkan gaji atau elaun wartawan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


