KUALA LUMPUR:Tiada jaminan bahawa pemberian gaji yang tinggi kepada penjawat awam atau sesiapa sekalipun boleh membuatkan amalan rasuah tidak akan berlaku.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berpendapat pandangan mengatakan penjawat awam perlu diberikan gaji yang tinggi untuk mengelakkan berlakunya rasuah tidak tepat.

Beliau menjelaskan terdapat contoh yang telah terbukti bahawa ada segelintir individu yang sudah bergelar jutawan tetap melakukan rasuah bila mereka diberi jawatan yang tinggi.

"Tidak ada jaminan berapa banyak kita bayar (gaji) kepada penjawat awam atau sesiapa sahaja akan menghentikan mereka daripada melakukan rasuah.

"Ada ketikanya, orang yang sudah kaya, yang sudah jutawan bila mereka berada dalam kerajaan tetap mereka melakukan salah guna kuasa," katanya.

Beliau juga berpendapat, keinginan untuk mempunyai kehidupan yang mewah membuatkan ada pihak yang sanggup melakukan salah guna kuasa dan melakukan rasuah.

Bagi Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, kes rasuah semakin meningkat kerana ramai yang gagal menghayati ajaran agama masing-masing.

Beliau menegaskan kes rasuah juga sangat tinggi berlaku dalam kalangan mereka yang beragama Islam dan di negara-negara Islam.

"Saya seorang Islam, jujurnya saya rasa ramai yang akan marah bila saya cakap perkara ini, tetapi saya tidak kisah untuk menyebut hal ini. Saya rasa, kita telah gagal untuk meletakkan apa yang telah diajarkan dalam Quran dalam hati," jelas beliau.

Johan dan Husamuddin berkata demikian dalam satu temubual secara maya bertajuk "Corruption: A Deadly Virus" yang dikendalikan oleh bekas Pengarah Urusan Kumpulan Media Star (SMG) Datuk Wong Chun Wai pada Jumaat.