Sumber galian dasar laut seperti nikel, kobalt serta platinum dikatakan mampu menggantikan sumber asli sedia ada negara yang hasilnya semakin berkurangan.

Pengerusi Institut Maritim Malaysia (MIMA), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor berkata kajian mengenai potensi galian tersebut dijalankan institut berkenaan sejak 2013.

"Kita dapati sumber-sumber ini lebih kuat kerana berada di dasar laut berbanding sumber yang diperoleh di darat," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Media Bersama MIMA di sini hari ini.

Beliau berkata sumber galian dasar laut dikenal pasti sejak tahun 1970-an namun tidak banyak negara yang meneroka industri berkenaan kerana kos pengeluarannya yang tinggi serta memerlukan kajian dan persediaan rapi.

Antara kawasan laut yang dikatakan banyak mempunyai sumber itu ialah Lautan Pasifik, Lautan Hindi serta Lautan Atlantik yang boleh didapati pada kedalaman antara 914 meter hingga 1,500 meter dari dasar laut.

Ahmad Ramli berkata selain kajian yang terperinci, teknologi yang digunakan untuk mendapatkan bahan galian itu juga perlu canggih.

Beliau berkata antara negara yang telah memasuki industri berkenaan ialah Jepun, Korea Selatan, Rusia serta Singapura.

"Korea Selatan misalnya menggunakan antara sumber galian tersebut untuk dipasang pada perisian android Samsung keluaran mereka," katanya.

Beliau berkata oleh kerana Malaysia mempunyai kepakaran dalam industri minyak dan gas dasar laut, tidak mustahil ia mampu meneroka galian tersebut.