KEPALA BATAS: Kadar pemulihan bekalan air kepada pengguna di Seberang Perai dan bahagian Pulau di Pulau Pinang masing-masing dianggarkan telah mencapai 90 peratus.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, susulan itu, sebanyak 90 peratus pengguna di kawasan berkenaan sudah mula menerima bekalan air secara berperingkat hari ini.

Manakala baki 10 peratus lagi iaitu melibatkan 40,000 akaun pengguna di beberapa kawasan di daerah Barat Daya iaitu bahagian Pulau masih mengalami masalah bekalan dan  dijangka menerima bekalan air secara berperingkat menjelang Rabu ini.

Menurut Kon Yeow, paras air Sungai Muda juga telah meningkat ke tahap 1.66 meter di muka sauk Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Lahar Tiang, Seberang Perai dan operasi mengekstrak sumber air mentah di Rumah Pam Lahar Tiang kembali pada keadaan asal dan telah mencapai kira-kira 83 peratus.

"Walaupun esktrak di sini mencapai 83 peratus, ditambah (bekalan) air Empangan Mengkuang membolehkan loji Sungai Dua beroperasi 100 peratus, back to normal tetapi untuk air sampai ke pengguna akan ambil sedikit masa dan perlu melalui proses normalisasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Loji Rawatan Air di Rumah Pam Lahar Tiang, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Isnin.

Menurutnya, antara kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air termasuk Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas, Jalan Teluk Kumbar, Bukit Belah, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Gertak Sanggul.


Turut terkesan ialah Kampung Matahari Naik, Jalan Pondok Upeh, Batu Itam, Flat Lily, Pulau Betong, Bukit Penara dan Persiaran Mayang Pasir.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, bagi meringankan kesulitan pengguna khususnya di Barat Daya, PBAPP dan pasukan bomba sukarela akan terus menghantar bantuan bekalan air melalui lori tangki ke ke kawasan terjejas.

Sementara itu beliau turut memohon  Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat siasatan penuh bagi mengetahui punca sebenar insiden penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak, semalam.

Siasatan itu katanya diperlukan memandangkan insiden berkenaan menyebabkan 400,000 akaun pengguna di negeri ini serta 200,000 akaun pengguna di Kedah menghadapi gangguan bekalan air.

Malah siasatan itu juga perlu bagi  mengenal pasti bagaimana kerosakan yang berlaku pada satu pintu empangan iaitu melibatkan sensor yang boleh menjejaskan ribuan pengguna.

Selain itu, Kon Yeow turut meminta SPAN mengarahkan pihak berwajib sama ada di Pulau Pinang mahupun di negeri Kedah supaya membuat semakan semua sistem pada baraj (pintu air) di sepanjang Sungai Muda.

Semalam dilaporkan, paras air di Sungai Muda menunjukkan penurunan secara mendadak  di bawah paras satu meter sekali gus  menjejaskan  pengeluaran di  loji Rawatan Air Sungai Dua. 


Situasi itu menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Pulau Pinang dan Kedah.