Sebanyak 75.31 peratus daripada 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis lalu dilaporkan pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, sehingga pukul 12.30 tengah hari tadi (Isnin), sebanyak 973 kawasan pulih sepenuhnya manakala 319 kawasan masih dalam proses pemulihan.

"Terdapat 55 kawasan masih belum pulih sepenuhnya walaupun tersenarai dalam kawasan kumpulan 1 yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada pukul 12 tengah malam Ahad.

"Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Elina berkata, Hulu Selangor direkodkan dalam senarai pulih sepenuhnya manakala Kuala Selangor dan Petaling masing-masing 99.25 peratus dan 92.43 peratus.

"Wilayah Gombak pula mencatatkan sebanyak 76.64 peratus pulih, diikuti Kuala Lumpur (52.63%); Kuala Langat (50%) dan Klang/Shah Alam (38.42 %)," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau meminta agar semua pengguna untuk tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan masih terjejas berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.

Khamis lalu, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.