KUALA LUMPUR: Pemulihan bekalan air di semua 998 kawasan terjejas di Lembah Klang sudah mencapai tahap 28 peratus setakat ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan pemulihan melibatkan lapan wilayah itu direkodkan sehingga pukul 6 pagi Jumaat.

"Lima daripada lapan wilayah di sekitar Lembah Klang sudah mencatatkan peratusan pemulihan.

Jumlah peratusan pemulihan tertinggi dicatatkan di Kuala Selangor dengan 75.6 peratus. Ini diikuti Hulu Selangor (60.7 peratus), Petaling (60.4 peratus), Shah Alam (40.4 peratus) dan Klang (0.9 peratus)," dalam infografik yang dikeluarkan Air Selangor pada Jumaat.

Dalam pada itu, tiga wilayah yang masih belum catat pemulihan iaitu Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat.

 Kenyataan media oleh Air Selangor berhubung status pemulihan bekalan air di sekitar Lembah Klang setakat jam 6.00 pagi - Air Selangor

Jelasnya, senarai kawasan yang pulih boleh diakses di laman pautan hentitugas.airselangor.com.

Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan, sejumlah 998 kawasan sekitar Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pada Rabu hingga Sabtu ini.

Gangguan disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dihenti tugas untuk memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal.

Antara kawasan disenarai terjejas berikutan gangguan bekalan air ialah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

BACA: Kawasan berhampiran loji mula terima bekalan air