NATIONAL
Gangguan air P.Pinang: Tiada PdPR atau cuti sekolah, USM laksana BDR

Tiada pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) atau cuti sekolah di Pulau Pinang berikutan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari yang dijadualkan bermula esok. - Foto hiasan
GEORGE TOWN: Tiada pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) atau cuti sekolah di Pulau Pinang berikutan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari yang dijadualkan bermula esok.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Wan Sajiri Wan Hassan berkata ini kerana kebanyakan sekolah di negeri itu telah membuat persiapan awal manakala pelajar yang tinggal di asrama pula dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sepanjang tempoh tersebut.
"Kita telah buat sesi libat urus dengan semua sekolah bagi menyusun strategi dan gangguan air yang berlaku itu tidak lama, lagipun kita sudah ada pengalaman sebelum ini seperti pernah berdepan dengan gangguan bekalan air yang lebih panjang daripada itu.
"Untuk hari esok (Jumaat) semua sekolah sudah bersiap sedia menyimpan bekalan air masing-masing. Jadi, kita harap dengan adanya persiapan seperti itu maka sesi persekolahan dapat diteruskan seperti biasa," katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di JPN di sini hari ini.Gangguan bekalan air pada 25 hingga 28 April ini yang melibatkan 341,708 akaun pengguna di lima daerah adalah ekoran pelaksanaan 23 projek air secara serentak dengan kos RM25 juta.
Ia bertujuan menambah baik perkhidmatan bekalan air kepada kira-kira 465,000 pengguna air di kawasan perkhidmatan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebelum ini telah meminta pengguna untuk menyimpan bekalan secukupnya bagi kegunaan selama 24 hingga 60 jam.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dato Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata Unit Pengurusan Bencana (UPB) selaku Penyelaras Krisis Air USM telah mula menyelaras pelbagai inisiatif bagi memastikan gangguan bekalan air yang melibatkan Kampus Induk di sini dan Kampus Kejuruteraan di Transkrian, Nibong Tebal dekat sini ditangani dengan berkesan.
Beliau berkata antaranya arahan bekerja dari rumah (BDR) telah dikeluarkan untuk esok bagi mengurangkan penggunaan air di kampus sekali gus memberi keutamaan kepada keperluan penghuni desasiswa.
USM katanya turut bekerjasama dengan PBAPP untuk membekalkan air menerusi lori tangki ke tangki simpanan utama kampus.
Abdul Rahman berkata pihaknya turut melaksanakan kaedah pembelajaran secara hibrid sepanjang tempoh krisis itu selain notis awal mengarahkan semua aktiviti pelajar dihentikan bermula hari ini hingga 30 April telah dikeluarkan pada Februari lepas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami