LABUAN: Ribuan pengguna di lebih 20 kampung dan kawasan perumahan di sini terus mengalami gangguan bekalan air yang masuk hari ketiga hari ini sehingga menyebabkan beberapa pengusaha makanan dan minuman menghentikan aktiviti perniagaan susulan masalah itu.
Gangguan bekalan yang bermula pada Ahad lepas menyebabkan pengusaha makanan berhadapan masalah untuk meneruskan operasi memandangkan proses penyediaan makanan dan pembersihan memerlukan bekalan air secara berterusan.
Pengusaha kedai makan Saadiah Said, 49, berkata gangguan itu menjejaskan operasi perniagaannya, menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan selain menutup kedai sementara waktu sehingga bekalan air pulih.
“Kami sangat memerlukan air untuk hampir semua perkara, daripada menyediakan makanan, membasuh pinggan mangkuk hingga membersihkan dapur. Tanpa air, memang tidak mungkin untuk kami beroperasi seperti biasa.
“Ini sudah masuk hari ketiga. Kami kehilangan pendapatan harian tetapi masih perlu menanggung perbelanjaan operasi. Kami berharap pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.
Seorang lagi pengusaha makanan Nordi Amirul, 35, juga bimbang dengan implikasi kewangan disebabkan gangguan bekalan itu, terutamanya kepada perniagaan kecil yang bergantung pada jualan harian untuk meneruskan operasi.
“Kami faham masalah teknikal boleh berlaku, tetapi tiga hari tanpa bekalan air yang sempurna sangat sukar untuk perniagaan kecil seperti kami. Pelanggan datang, tetapi kami tidak dapat menerima mereka kerana tiada air untuk memasak dan membersih.
“Setiap hari kami tidak beroperasi bermakna kerugian pendapatan dan kami berharap ada penyelesaian lebih baik bagi mengelakkan gangguan seperti ini berulang,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) dalam notis dikeluarkan hari ini memaklumkan kerja pembaikan Pam Air Mentah (RWP) Fasa Dua di Loji Rawatan Air Lawa Gadong di Beaufort, Sabah masih dilakukan.
JBAL memaklumkan pemeriksaan lanjut oleh pengendali loji setakat 5 pagi tadi mengesan retakan pada perumah galas pam yang memerlukan pembaikan atau penggantian bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan selamat.
“Pengendali loji ketika ini berusaha mendapatkan perumah galas ganti yang sesuai bagi membolehkan kerja pembaikan diteruskan secepat mungkin,” menurut notis itu.
JBAL memaklumkan gangguan itu menjejaskan hampir semua kawasan di pulau bebas cukai tersebut kecuali di Kawasan Pemeteran Daerah (DMA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
JBAL memaklumkan pihaknya akan terus memantau kemajuan kerja pembaikan dan menyalurkan maklumat terkini secara berkala kepada pengguna termasuk anggaran masa pemulihan bekalan.
Jabatan itu memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan memohon pengguna bersabar serta memahami sementara usaha dilakukan untuk memulihkan bekalan tersebut.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbadanan Labuan (PL) dan JBAL telah menggerakkan lori tangki air untuk mengagihkan air ke kampung dan kawasan perumahan yang terjejas bagi meringankan beban pengguna sepanjang tempoh gangguan.
-- BERNAMA