Kerajaan Negeri Sembilan menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana pihak yang menyalurkan maklumat kegiatan pembuangan haram sisa kimia sehingga tertangkapnya pelaku, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ia sebagai usaha bagi mengekang kegiatan itu daripada terus dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kerajaan negeri menawarkan insentif RM10,000 ini kepada mana-mana pemberi maklumat berkenaan pembuangan sisa kimia secara haram yang dilakukan di kawasan sungai dan kolam takungan di negeri ini, sehingga tertangkapnya pihak yang melakukan aktiviti berkenaan.

"Tahun lalu kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM300,000 bagi kerja-kerja pembersihan sisa kimia hingga menyebabkan sisa berkenaan memasuki Sungai Anak Air Garam dan anak Sungai Belihoi...Nasib baik pencemaran tidak sampai ke kolam takungan air," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Abdul Malik.

Sementara itu, mengenai Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) Aminuddin berkata kerajaan negeri akan menambah lebih banyak aktiviti untuk menarik pelancong luar.

"Kami sedang merancang untuk mewujudkan pelancongan sukan di negeri ini dengan menjadikan sukan ragbi sebagai satu daripada akiviti, untuk menarik pengunjung luar datang ke Negeri Sembilan.

"Selain itu, kita adakan aktiviti mengoca bola bagi mempamerkan keunikan yang terdapat di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA